Polis trafik KL selamat, kemalangan gara-gara kereta ‘pancung’ melulu
Oleh – Syeikh Baran
Anggota Jabatan Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur dilaporkan selamat selepas terbabit kemalangan berpunca daripada kereta Honda City yang mengubah lorong secara melulu.
Rakaman kamera papan pemuka (dashcam) berhubung kejadian itu, tular di media sosial dan disahkan berlaku pukul 10.25 pagi semalam, di Jalan Cheras, di sini.
Ketua JSPT Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata, pihaknya mengesan video tular itu di aplikasi Facebook, sekali gus mengesahkan anggotanya tidak mengalami kecederaan.
“Siasatan awal mendapati kemalangan tersebut berlaku melibatkan kereta Honda City yang mengubah laluan dan dilanggar oleh anggota JSPT yang menghala ke tempat bertugas.
Terdahulu Kosmo! melaporkan, tindakan pemandu kereta cuba ‘memancung’ atau menukar lorong menyebabkan seorang anggota polis trafik mengalami kemalangan sehingga tercampak ke atas jalan raya.
Menerusi rakaman dashcam berdurasi 28 saat yang tular di media sosial, pada mulanya anggota polis trafik yang menunggang motosikal sedang berada di lorong paling kiri.
Pada saat ke-23, kereta jenis Honda City berwarna kelabu dari arah kanan kelihatan terburu-buru menukar lorong sehingga menyebabkan anggota polis itu tidak sempat berhenti lalu merempuh belakang kenderaan itu.
Kemalangan itu menyebabkan motosikal anggota polis tersebut berpusing beberapa kali sehingga dirinya tercampak ke atas jalan raya bersama barang-barang peribadinya.
Sumber – KOSMO! ONLINE