Sindiket diesel untung RM400 juta, KPDN sedia bantu SPRM

Oleh – Syeikh Baran


Sindiket diesel untung RM400 juta, KPDN sedia bantu SPRM

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) memberi jaminan akan memberi kerjasama kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung siasatan kes rasuah penyeludupan diesel berjumlah lebih RM400 juta.



Menterinya, Datuk Armizan Mohd. Ali berkata, siasatan ke atas sindiket yang beroperasi di Sibu itu melibatkan tiga perundangan termasuk di bawah Akta SPRM dan KPDN.

“Kita akan bagi kerjasama rapat kepada SPRM untuk memastikan siasatan terperinci dibuat bagi menentukan kes itu dapat diselesaikan dan mereka yang terlibat dituduh di mahkamah.

“Siasatan itu akan melibatkan semua peringkat rantaian termasuk penyeludup, sumber bekalan, stesen minyak atau pihak disyaki bersubahat melindungi sindiket sejak lebih 10 tahun itu,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat isu bekalan minyak RON97 di sempadan Sarawak, Brunei dan Indonesia, di sini tadi.

Terdahulu, dua beradik yang juga pengusaha stesen minyak direman kerana terbabit sindiket penyeludupan diesel dan merasuah pegawai agensi penguat kuasa bagi mengelak dikenakan tindakan penguatkuasaan.

Suspek dipercayai terbabit dengan sindiket penjualan minyak diesel bersubsidi bagi kegunaan nelayan, namun dijual pada harga lebih tinggi kepada pembeli dari luar negara.



Sindiket itu dipercayai telah beroperasi sejak tahun 2012 dan mengaut keuntungan sehingga RM400 juta.

Dalam pada itu, Armizan berkata, KPDN juga akan bekerjasama rapat dengan SPRM bagi siasatan kes sindiket terbabit berikutan penyelewengan bahan subsidi memberikan implikasi kewangan besar.

“Ia boleh dianggap sebagai sabotaj kepada kerajaan dalam konteks pemberian subsidi kepada rakyat dan tidak mahu subsidi itu mengalir kepada pihak yang mengambil kesempatan untuk raih keuntungan,” katanya.

Sumber – KOSMO! ONLINE



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button