Muhyiddin mengaku tidak bersalah menghasut ketika ceramah PRK Nenggiri
Oleh – Syeikh Baran
Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Nik Mohd. Tarmizie Nik Mohd. Shukri di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan mengeluarkan perkataan menghasut ketika memberi ceramah di Felda Perasu di sini pada 14 Ogos lalu.
Mengikut pertuduhan, beliau yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) didakwa menyebut perkataan menghasut seperti ayat dalam ucapannya iaitu:
“Saya nak ceritakan mungkin orang Nenggiri ingatkah tak ingat. Saya waktu itu, sekali lagi diberikan sokongan ada 115 Ahli Parlimen yang sokong saya. Ikut Perlembagaan kalau saya sebagai Ahli Parlimen ada dapat sokongan 114, campur saya Muhyiddin Yassin ada satu Parlimen jadi 115.
“Kerusi Parlimen 222. Kalau bahagi 2 berapa? 111…Kalau dapat lebih 1 dia boleh bentuk kerajaan. Tapi saya dapat 115. Kalau ikut kiraan Perlembagaan, saya sudah ada jumlah yang lebih daripada mencukupi untuk jadi Perdana Menteri. Ini bukan nak mengungkit tapi it’s a record of history.
“Tapi entah macam mana Yang di-Pertuan Agong waktu itu tak ajak jemput saya pergi Istana angkat sumpah. Siapa yang Yang di-Pertuan Agong dulu? Faham dah la eh. Kita tak nak cerita apa-apa buruk eh tapi yang itu bagi saya agak luar biasa…tapi takpe lah. Maka lepas tu terbentuklah kerajaan Perpaduan..sekarang ni kita panggil kerajaan Madanon”.
Ucapan itu dilakukan oleh Muhyiddin berhampiran Dewan Semai Bakti Felda Perasu di sini kira-kira pukul 10.30 hingga 11.50 malam pada 14 Ogos lalu.
Pendakwaan dikendalikan oleh enam Timbalan Pendakwa Raya yang diketuai Datuk Umar Saifuddin Jaafar manakala Muhyiddin diwakili lima peguam iaitu Amer Hamzah Arshad, Chetan Jethwani, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, Mohd. Nasir Abdullah dan Mariana Mat Kudin.
Terdahulu, Umar Saifuddin mencadangkan ikat jamin RM20,000 dengan seorang penjamin selain syarat tambahan iaitu perintah larangan bersuara dan tidak mengeluarkan kenyataan berhubung isu berkenaan.
Amer Hamzah dalam rayuannya berkata, jaminan tersebut tidak wajar dan keterlaluan memandangkan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor yang sebelum ini didakwa atas pertuduhan sama hanya dikenakan jaminan RM5,000.
Mahkamah kemudian membenarkan ikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin selain menolak permohonan pihak pendakwaan berhubung perintah larangan bersuara dan menetapkan 4 November depan untuk sebutan semula kes serta membayar jaminan tersebut.
Sumber – KOSMO! ONLINE