Stesen minyak diserbu jual diesel melebihi harga kawalan

Oleh – Syeikh Baran


Stesen minyak diserbu jual diesel melebihi harga kawalan

Sebuah stesen minyak di Sungai Bakau di sini diserbu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak kira-kira pukul 4.49 petang semalam ekoran menjual diesel melebihi harga kawalan.



Pengarah KPDN Perak, Datuk Kamalludin Ismail berkata, serbuan itu dilakukan pihaknya setelah menerima aduan daripada orang awam berhubung perkara tersebut.

“Harga runcit produk petroleum bagi tempoh 22 Ogos hingga 28 Ogos 2024 untuk diesel adalah RM3.23 seliter, RON97 RM3.47 seliter, RON95 RM2.05 seliter dan diesel RM2.15 seliter bagi Sabah dan Sarawak.

“Pemeriksaan anggota penguat kuasa mendapati harga minyak diesel yang dipaparkan untuk jualan pada pam minyak adalah RM3.25 seliter, iaitu melebihi 2 sen daripada harga ditetapkan oleh kerajaan sebanyak RM3.23 seliter,” katanya di sini hari ini.

Sehubungan itu, beliau berkata, satu tindakan kes telah diambil terhadap pemilik stesen di bawah kesalahan Peraturan 21 (1) Peraturan Kawalan Bekalan 1974 iaitu telah melanggar syarat lesen runcit dengan menaikkan harga barang kawalan berjadual diesel tanpa kelulusan Pengawal Bekalan Malaysia.



Kamalludin berkata, berdasarkan kepada dokumentasi yang diperolehi dari penyelia premis mendapati, stesen berkenaan mempunyai lesen runcit yang masih sah sehingga 21 Februari 2029.

“Berikutan penemuan tersebut, satu arahan pengistiharan stok di bawah Seksyen 8 Akta Kawalan Bekalan 1961 telah diberikan kepada penyelia premis. Sebanyak 2,100 liter minyak diesel masih dalam stok simpanan stesen berkenaan.

“Kes akan disiasat dibawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan jika sabit kesalahan seseorang selain dari badan korporat boleh didenda tidak melebihi RM1 juta atau tidak melebihi tiga tahun penjara atau kedua-duanya,” katanya.

Tambah beliau, bagi mana-mana badan korporat yang melakukan suatu kesalahan terhadap akta itu apabila disabitkan, boleh didenda tidak melebihi RM2 juta.



Sumber – KOSMO! ONLINE

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button