Suspek bertopeng tetak lelaki sampai mati ditahan

Oleh – Syeikh Baran


Suspek bertopeng tetak lelaki sampai mati ditahan

Suspek keempat kes tular sekumpulan individu bertopeng menetak seorang lelaki sehingga mati di Taman Rim Baru di sini, Ahad lalu telah ditahan dan direman selama tujuh hari bermula hari ini.



Perintah reman sehingga 2 September ini dikeluarkan Majistret Mazana Sinin terhadap suspek berusia 21 tahun bagi melengkapkan siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Terdahulu, suspek yang memakai pakaian lokap polis berwarna ungu tiba di pekarangan Mahkamah Jasin kira-kira pukul 9.25 pagi dengan diiringi anggota polis.

Semalam, tiga suspek berusia 21, 22 dan 31 tahun turut direman selama tujuh hari sehingga 1 September ini di bawah seksyen sama.

Polis turut membuka tiga lagi kertas siasatan bagi kes itu bagi kesalahan ugutan, merusuh dan khianat terhadap kenderaan mengikut Seksyen 506, 148 dan 427 Kanun Keseksaan.



Sementara itu, Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintendan Ahmad Jamil Radzi berkata, polis masih memburu beberapa lagi suspek yang masih bebas.

“Suspek ditangkap di Jalan Jasin Bestari kira-kira pukul 11 malam semalam. Setakat ini empat suspek yang berusia antara 21 dan 31 tahun telah direman selama tujuh hari manakala suspek yang masih bebas sedang diburu” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Sumber – KOSMO! ONLINE

 



 

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button