Ahli perniagaan didakwa tipu tanah pajak pertanian kerajaan Negeri Sembilan

Oleh – Syeikh Baran


Ahli perniagaan didakwa tipu tanah pajak pertanian kerajaan Negeri Sembilan

Seorang ahli perniagaan didakwa di Mahkamah Sesyen hari ini atas pertuduhan menipu pemilik sebuah syarikat berhubung tanah pajak pertanian kerajaan Negeri Sembilan berjumlah RM350,000 empat tahun lalu.



Bagaimanapun tertuduh Ahmad Faizal Ismal, 35, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Azrul Darus.

Mengikut pertuduhan, Ahmad Faizal didakwa telah menipu Tan Beng Wee, 43, dengan memperdayakan mangsa dalam urusan mendapatkan tanah tanah pajak pertanian kerajaan Negeri Sembilan di daerah Tampin.

Perbuatan itu telah mendorong Beng Wee menyerahkan RM345,000 ke akaun bank atas nama tertuduh dan wang tunai RM5,000 yang mana mangsa tidak akan menyerahkan sekiranya tidak diperdayakan.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah firma guaman di Jalan Cheras di sini pada 24 November 2020 yang didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.



Hukuman bagi seksyen itu memperuntukkan penjara tidak kurang setahun dan maksimum 10 tahun dan dengan sebat dan juga boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.

Terdahulu Timbalan Muhammad Amir Haniff Ahijman menawarkan jaminan RM70,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai dan memohon tarikh sebutan ditetapkan.

Bagaimanapun peguam Datuk Mior Faridalathrash Wahid yang mewakili tertuduh memohon supaya jaminan dikurangkan dengan alasan anak guamnya memberi kerjasama baik sepanjang siasatan pihak polis selain tidak membantah syarat tambahan yang ditetapkan pendakwaan.

Selepas mendengar makluman kedua-dua belah pihak, Hakim Azrul membenarkan tertuduh diikat jamin RM50,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan yang dipohon pendakwaan dan menetapkan 30 September ini untuk sebutan kes.



Sumber – KOSMO! ONLINE

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button