Lagi ahli kumpulan bertopeng tetak mati lelaki diberkas

Oleh – Syeikh Baran


Lagi ahli kumpulan bertopeng tetak mati lelaki diberkas

Seorang lagi ahli kumpulan individu bertopeng bersenjatakan parang yang menetak seorang lelaki sehingga mati di Taman Rim Baru, di sini, Ahad lalu diberkas, malam tadi.



Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintendan Ahmad Jamil Radzi berkata, tangkapan terbaharu itu menjadikan jumlah suspek ditahan setakat ini adalah seramai lima orang.

“Malam tadi kita berjaya memberkas seorang lagi suspek berusia 23 tahun dan telah pun diberikan perintah reman selama tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

“Hasil saringan ujian air kencing dilakukan ke atas suspek bagaimanapun mendapati negatif dadah,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Tambahnya, pihaknya masih lagi mengesan individu lain yang terlibat dan senjata parang digunakan dalam kejadian tersebut.



Terdahulu, Kosmo! melaporkan seorang lelaki maut selepas ditetak sekumpulan lelaki bertopeng dan bersenjatakan parang di hadapan sebuah kedai gunting rambut di Taman Rim Baru, dekat sini.

Dalam kejadian pukul 8.39 malam itu, mangsa berusia 24 tahun cuba diselamatkan oleh adik lelakinya dengan membawanya ke hospital, namun kedua-dua mereka dikejar suspek sehingga ke Unit Kecemasan Hospital Jasin.

Mangsa yang ditetak disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan Hospital Jasin pada 10.15 malam.

Sumber – KOSMO! ONLINE



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button