Pasangan kekasih diberkas edar 6kg dadah RM2 juta

Oleh – Syeikh Baran


Pasangan kekasih diberkas edar 6kg dadah RM2 juta

Polis menumpas sindiket memproses dan mengedar dadah antarabangsa selepas menahan pasangan kekasih dalam empat serbuan di sekitar bandar raya ini dan Iskandar Puteri, 17 Ogos lalu.



Ketua Polis Johor, Komisioner M. Kumar berkata, dalam serbuan itu, polis turut merampas pelbagai jenis dadah seberat lebih enam kilogram (kg) yang dianggarkan bernilai lebih RM2 juta.

Katanya, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) menahan seorang lelaki warga asing berusia 31 tahun serta merampas sejumlah dadah di sekitar Iskandar Puteri.

“Penahanan lelaki itu membawa kepada serbuan pertama membabitkan sebuah rumah mewah semi D di kawasan berpagar dan berpengawal di Taman Eco Flora yang dijadikan makmal untuk memproses dadah.

“Serbuan ke rumah sewa yang juga stor simpanan dadah itu menemukan puluhan botol mengandungi bahan kimia serta pelbagai peralatan yang digunakan untuk memproses dan membungkus dadah sebelum diedar ke negara jiran dan pasaran tempatan,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini hari ini.



Dalam serbuan itu, pihak polis merampas 3.67kg serbuk ekstasi, 20.21 liter cecair ekstasi, 1.85 gram (g) pil erimin 5, 12.80g pil ekstasi, 4.80g pil epam nitrazepam dan 2.6kg syabu.

Polis turut merampas peralatan memproses dadah serta ‘percusor’ yang digunakan dalam memproses dadah, sebuah kereta, wang tunai RM131,598, pelbagai jenis barang kemas, wang tunai asing SGD100 serta tiga akaun bank yang keseluruhan nilai sitaan RM630,596.

Menurut Kumar, susulan itu, pihaknya menahan seorang wanita tempatan berusia 38 tahun dipercayai kekasih suspek lelaki itu pada hari yang sama.

Katanya, penahanan wanita itu membawa ke dua lagi lokasi iaitu sebuah rumah teres dan apartmen di Setia Indah dan Majidee, di sini dan menjumpai sejumlah dadah.



Tambahnya, sindiket memproses dan mengedar dadah itu dipercayai beroperasi sejak Mei lalu dan diedarkan dalam kuantiti yang kecil bagi mengelakkan daripada kegiatan terbongkar.

Sumber – KOSMO! ONLINE

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button