Penganggur dituduh edar ganja berdepan hukuman mati

Oleh – Syeikh Baran


Penganggur dituduh edar ganja berdepan hukuman mati

Seorang penganggur dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan mengedar dadah jenis kanabis atau ganja seberat 2.85 kg pada 18 Ogos lalu.



Tertuduh, Yusfazli Yusof, 32, mengangguk faham sebaik pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret, Ana Rozana Mohd. Nor.

Walau bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh.

Mengikut kertas pertuduhan, dia didakwa mengedar 2.85 kg kanabis di hadapan sebuah kedai wakil insurans di Jalan Padang Besar, Padang Besar dekat sini kira-kira pukul 12.05 tengah hari, 18 Ogos lalu.

Pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 39B(1)(A) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan jika tidak dihukum mati, hendaklah dikenakan tidak kurang 12 sebatan, jika sabit kesalahan.



Kes dikendalikan Pegawai Pendakwa Polis Diraja Malaysia, Asisten Superintendan Musa Bujang manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Sumber – KOSMO! ONLINE

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button