Tukang dawai elektrik didakwa rasuah seludup warga asing

Oleh – Syeikh Baran


Tukang dawai elektrik didakwa rasuah seludup warga asing

Seorang tukang dawai elektrik dihadapkan ke Mahkamah Sesyen hari ini atas pertuduhan merasuah pegawai imigresen sebanyak RM5,650 bagi melepaskan sembilan warga Myanmar, tahun lalu.



Tertuduh, Pho Cho, 37 yang merupakan warga Myanmar bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datuk Anita Harun.

Bapa kepada dua anak itu didakwa telah memberikan rasuah wang tunai berjumlah RM5,650 sebagai upah kepada seorang pegawai Jabatan Imigresen yang bertugas di Terminal 2 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.

Ini sebagai dorongan melepaskan kemasukan sembilan warga Myanmar ke negara ini tanpa melalui prosedur yang ditetapkan.

Kesalahan itu dilakukan di medan selera Indah Puteri, Kampung Baharu Lanjut, Sepang kira-kira pukul 3.55 petang pada 31 Oktober 2023.



Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia ( SPRM) Muaz Ahmad Khairuddin tidak mencadangkan sebarang jaminan memandangkan tertuduh adalah warga asing.

Bagaimanapun, Peguam Ungku Imran Athari memaklumkan ini adalah kesalahan pertama Pho Cho yang telah menetap di negara ini selama 18 tahun.

“Anak guam saya janji tidak melarikan diri dan tiada halangan menyerahkan pasport dan sedia melapor diri. Jadi, mohon budi bicara mahkamah membenarkan anak guam diikat jamin,” katanya.

Mahkamah kemudiannya menetapkan jaminan RM70,000 bersama seorang penjamin serta syarat tambahan menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melaporkan diri di pejabat SPRM setiap awal bulan.



Anita turut membenarkan permohonan pihak pendakwaan bagi mendapatkan perintah larangan mengenai nama-nama saksi dan menetapkan sebutan semula kes pada 30 September depan.

Kosmo! Online semalam lelaki tersebut yang merupakan ejen sindiket merupakan antara 12 individu termasuk lima penguatkuasa sebuah agensi penguatkuasaan yang telah ditahan oleh SPRM pada 20 Ogos lalu menerusi Op Pump di sekitar Lembah Klang, Kelantan dan Pulau Pinang.

Lelaki itu membayar wang rasuah kepada penguat kuasa menerusi modus operandi ‘counter setting’.

Sumber – KOSMO! ONLINE



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button