Bekas eksekutif kanan MARA didakwa terima rasuah RM45,000

Oleh – Syeikh Baran


Bekas eksekutif kanan MARA didakwa terima rasuah RM45,000

Bekas Eksekutif Kanan Bahagian Pembangunan Industri dan Infrastruktur Majlis Amanah Rakyat (MARA) didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini, atas lima pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM45,000 memudahkan pinjaman wang yang dibuat sebuah syarikat daripada agensi itu.



Bagaimanapun tertuduh Fauzi Yaacob, 55, mengaku tidak bersalah selepas lima pertuduhan itu dibacakan di hadapan Hakim Rosli Ahmad.

Berdasarkan kelima-lima pertuduhan, Fauzi didakwa sebagai eksekutif kanan itu menerima wang berjumlah 45,000 melalui akaun bank Public Islamic milik Amierul Shabir Hariri daripada Pengarah Syarikat Kip Care Sdn Bhd, Abdul Rahman Richard Abdullah yang mempunyai hubungan dengan kerja-kerja rasmi tertuduh.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Public Bank Berhad Cawangan Kampung Baru di sini, antara 11 September 2015 dan 15 Februari 2016, mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara boleh sampai dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Terdahulu Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Mohd. Syahzad Azad Sanusi memohon jaminan RM20,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan tertuduh perlu melaporkan diri di pejabat SPRM Putrajaya sebulan sekali dan menyerahkan pasport kepada mahkamah sehingga kes selesai.



Bagaimanapun peguam Mohd . Zali Shari, yang mewakili tertuduh memohon jaminan RM15,000 bagi kelima-lima pertuduhan kerana anak guamnya yang mempunyai lapan orang anak selain isterinya tidak bekerja.

“Sepanjang siasatan anak guam telah memberikan kerjasama yang baik,” kata peguam itu.

Selepas mendengar makluman kedua-dua belah pihak, Hakim Rosli membenarkan tertuduh diikat jamin RM20,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan tertuduh perlu melapor diri di pejabat SPRM Wilayah Persekutuan dan menyerahkan pasport kepada mahkamah sehingga kes selesai.

Tarikh 3 Oktober ini ditetapkan sebutan semula kes.



Sumber – KOSMO! ONLINE

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button