Curi kabel, Geng Mat Razak sedang diburu

Oleh – Syeikh Baran


Curi kabel, Geng Mat Razak sedang diburu

Seorang lelaki ditahan manakala tiga lelaki yang lain diburu polis kerana disyaki terlibat melakukan jenayah mencuri kabel di Perak.



Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris berkata, empat Pegawai Rendah dari Balai Polis Bagan Serai sedang melakukan tugas Ronda Cegah Jenayah (RCJ) telah mengesan sebuah kereta jenis Proton Exora berwarna Perak dalam keadaan mencurigakan di kawasan Batu 8 Bagan Serai sekitar 2.40 pagi tiga hari lalu.

“Menyedari kenderaan mereka diekori, suspek masuk ke laluan di Rumah Pam Kerian dan tersekat di jalan mati. Keempat-empat suspek itu turun dari kenderaan sebelum cuba melarikan diri ke arah semak samun berhampiran.

“Petugas RCJ berjaya menahan salah seorang seorang lelaki berusia 20 tahun manakala tiga lagi berjaya meloloskan diri,” katanya kepada pemberita dalam satu sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Kerian disini hari ini.

Menurut Azizi, hasil pemeriksaan ke atas suspek yang ditahan menemukan satu peket lut sinar mengandungi bahan disyaki dadah jenis syabu.



“Pemeriksaan ke atas kenderaan pula menemukan beberapa gulung wayar kabel Telekom Malaysia yang dipercayai dicuri beserta beberapa peralatan yang disyaki digunakan bagi tujuan aktiviti jenayah tersebut.

“Soal siasat mendapati, suspek bersama tiga lagi rakannya yang masih bebas turut terlibat dalam sembilan kes kecurian kabel Telekom Malaysia yang dilaporkan di daerah Kerian,” katanya.

Tambahnya, kumpulan yang dikenali sebagai Geng Mat Razak ini telah aktif melakukan jenayah curi kabel TM bermula awal tahun ini dengan menyewa kenderaan sebagai modus operandi.

Sumber – KOSMO! ONLINE



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button