Dasar bayaran balik kepada penumpang perlu babitkan semua pihak, bukan hanya syarikat penerbangan – Tony Fernandes

Dasar bayaran balik kepada penumpang perlu babitkan semua pihak, bukan hanya syarikat penerbangan – Tony Fernandes

Dasar bayaran balik kepada penumpang perlu babitkan semua pihak, bukan hanya syarikat penerbangan - Tony Fernandes
TONY Fernandes. FOTO Arkib NSTP

Kuala Lumpur: Peraturan bayaran balik baharu oleh Kementerian Pengangkutan harus melibatkan semua pihak berkepentingan termasuk pengendali lapangan terbang bukan hanya syarikat penerbangan, kata Ketua Pegawai Eksekutif Capital A Bhd Tan Sri Tony Fernandes.

Pada 28 Ogos lepas, Menteri Pengangkutan Anthony Loke mengumumkan bahawa syarikat penerbangan dikehendaki menawarkan pengguna pilihan bayaran balik penuh bagi kelewatan penerbangan lima jam dan lebih kepada penumpang, berkuat kuasa 2 September depan.

Bagaimanapun, Fernandes berkata peraturan itu harus mempunyai beberapa klausa pengecualian kerana kelewatan mungkin berlaku disebabkan oleh pembekal, kawalan trafik dan gangguan teknologi maklumat (IT) dan faktor-faktor lain.



“Saya berpendapat ia adalah mudah untuk menyalahkan syarikat penerbangan…terdapat banyak isu, antaranya masalah Crowdstrike baru-baru ini menyebabkan gangguan sistem teknologi maklumat (IT) global,” katanya.

Gangguan sistem teknologi maklumat (IT) terbabit dikaitkan dengan firma teknologi keselamatan siber Amerika Syarikat, CrowdStrike Holdings Inc yang menyediakan perlindungan titik akhir, risikan ancaman dan perkhidmatan tindak balas serangan siber.


DISYORKAN UNTUK ANDA :

Abaikan Bantahan PAGE, Sekolah Rendah MARA Perlu Di Realisasikan




Beliau berkata demikian pada majlis pelepasan penerbangan pertama AirAsia ke Sabah dan Sarawak dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (sebelum ini dikenali sebagai Lapangan Terbang Subang), dekat sini, hari ini.

Fernandes berkata wujud isu rantaian bekalan yang besar dan semua syarikat penerbangan mengalami masalah kebolehpercayaan enjin yang lemah.

“Bagaimanapun, kami tidak perlu diberitahu perkara itu (bayaran balik kepada penumpang) kerana kami sudah pun melakukannya. Justeru adalah wajar dan adil untuk penumpang membuat tempahan semula. Saya akan merasakan perkara yang sama tetapi menjalankan syarikat penerbangan adalah sukar, kami bergantung kepada pembekal untuk memberikan kami enjin dan alat ganti…sebagai contoh,” katanya.



Fernandes berkata gangguan IT global telah menyebabkan syarikat penerbangan kehilangan berjuta-juta dalam pendapatan dan ia telah mencetuskan huru-hara dalam kehidupan orang ramai akibat kegagalan sistem.

Beliau berkata syarikat penerbangan memerlukan jawapan dan pampasan, sehubungan itu syarikat penerbangan tambang rendah itu telah berunding dengan peguam Amerika Syarikat mengenai perkara itu.


DISYORKAN UNTUK ANDA :

PPBM Mahu Didik Rakyat Supaya Derhaka?




Bulan lepas, institusi utama seperti syarikat penerbangan, bank, saluran media dan hospital di beberapa negara dilaporkan terjejas oleh gangguan IT global yang dikaitkan dengan CrowdStrike.

Sementara itu, Fernandes meluahkan keyakinan mengenai keputusan suku ketiga kumpulan itu, memandangkan ringgit telah mengukuh secara berterusan.

“Kerugian bagi suku kedua kebanyakannya disebabkan oleh perakaunan dan pertukaran asing. Bagaimanapun, melihat kepada pergerakan ringgit yang lebih baik sekarang, kami positif mengenai suku seterusnya dan juga pada tahun depan (2025) kerana kebanyakan pesawat akan kembali beroperasi,” katanya.

Fernandes berkata kepulangan AirAsia (operasi penerbangan) ke Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah dijangka meningkatkan ketersambungan dengan ketara dalam Malaysia dan seluruh rantau, dan syarikat penerbangan itu menyasarkan untuk meningkatkan lagi jumlah penumpang domestiknya bermula dengan empat penerbangan pergi balik setiap hari ke Sabah dan Sarawak.



Dasar bayaran balik kepada penumpang perlu babitkan semua pihak, bukan hanya syarikat penerbangan – Tony Fernandes

 


DISYORKAN UNTUK ANDA :

LAWATI LAMAN FACEBOOK KAMI :

Harakahdaily Siar Berita Palsu?



 

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button