Kes bunuh Nur Farah Kartini: Laporan kimia belum diperoleh, 7 Oktober sebutan kes

Oleh – Syeikh Baran


Kes bunuh Nur Farah Kartini: Laporan kimia belum diperoleh, 7 Oktober sebutan kes

Mahkamah Majistret Kuala Kubu Bahru di sini hari ini menetapkan 7 Oktober bagi sebutan semula kes anggota polis berpangkat Lans Koperal Muhammad Alif Monjani yang didakwa membunuh Nur Farah Kartini Abdullah.



Majistret Nurul Izzah Hasan Basri menetapkan tarikh itu selepas Timbalan Pendakwa Raya Asmah Che Wan memaklumkan laporan kimia berhubung kes itu belum diperoleh.

“Laporan kimia belum siap mohon satu tarikh lain,” kata Asmah.

Semasa prosiding peguam Nur Aida Md Zainuddin yang mewakili tertuduh mengesahkan perkara itu (laporan kimia belim diperoleh).

Pada 26 Julai lalu Muhammad Alif didakwa membunuh Nur Farah, 25, di Ladang SKC, Kledang, Mukim Hulu Bernam antara pukul 9 pagi 10 Julai hingga pukul 6 petang 15 Julai lalu.



Berikutan itu pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Hukuman bagi seksyen itu memperuntukkan hukuman mati atau penjara tidak kurang 30 tahun dan tidak lebih 40 tahun dan tidak kurang 12 sebatan jika sabit kesalahan.

Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh Muhammad Alif Monjani, 26, selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya
kerana kes bunuh itu dibawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Terdahulu sebelum prosiding bermula polis mahkamah sempat mengingatkan supaya semua keluarga yang hadir mengawal emosi.



Sebelum ini Kosmo! melaporkan kertas siasatan berkaitan kes pembunuhan Nur Farah Kartini akan diserahkan kepada pendakwaan untuk tindakan selanjutnya dalam masa terdekat.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, usaha pencarian bahan bukti di beberapa lokasi termasuk tempat kejadian telah selesai dijalankan setakat ini.

Polis Diraja Malaysia (PDRM) menemukan kunci kereta dipercayai mempunyai kaitan dengan pembunuhan Nur Farah Kartini ketika melakukan pencarian bahan bukti di Sungai Trolak Kampung Batu 4, Perak.

Kunci itu ditemukan oleh seorang penyelam daripada unit berkenaan kira-kira pukul 11.20 pagi pada jarak 50 meter daripada jambatan kecil di sungai itu yang dipercayai menjadi lokasi suspek membuang barangan milik mangsa.



Polis turut mengesahkan penemuan kunci selain dompet dipercayai milik Nur Farah Kartini di sungai tersebut.

Sebelum itu pada 17 Julai lalu, polis telah menemukan telefon pintar dipercayai milik mangsa di dalam parit ladang kelapa sawit Kampung Sri Keledang yang turut menjadi lokasi utama pembunuhan tersebut.

Keesokan harinya, beg tangan wanita dipercayai milik Nur Farah Kartini turut ditemukan ketika operasi pencarian di Sungai Trolak Kampung Batu, Perak.

Nur Farah Kartini dilaporkan hilang pada 10 Julai lepas sebelum mayatnya ditemukan di sebuah ladang kelapa sawit di Hulu Selangor kira-kira pukul 6 petang pada 15 Julai.



Sumber – KOSMO! ONLINE.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button