Pemilik syarikat dijel, denda balasan bagi rasuah

Oleh – Syeikh Baran


Pemilik syarikat dijel, denda balasan bagi rasuah

Tindakan seorang pemilik syarikat pembersihan merasuah RM3,500 pembantu tadbir Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) bagi notis kerja pembersihan empat tahun lalu, membawa padah apabila dipenjara sehari dan denda RM30,000 oleh Mahkamah Sesyen hari ini.



Hakim Datuk Anita Harun menjatuhi hukuman itu selepas tertuduh, Mohammad Zaki Jamian, 44, mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.

Tertuduh juga diperintahkan penjara tambahan enam bulan sekiranya gagal membayar denda tersebut. Dia membayarnya.

Mohammad Zaki didakwa telah secara rasuah memberikan suapan wang tunai RM3,500 melalui akaun bank syarikatnya kepada seorang lelaki berusia 31 tahun yang merupakan pembantu tadbir pekeranian dan operasi MBSA.

Ini sebagai upah menyediakan laporan bergambar kerja pembersihan dan tidak mengenakan tindakan Notice To Correct (NTC) bagi tuntutan bayaran Tawaran Semula Cadangan Perkhidmatan Pembersihan Gerai Majlis di Seksyen 24 Shah Alam untuk MBSA bagi bulan September 2020 hingga Disember 2021.



Perbuatan itu dilakukan antara Oktober hingga Disember 2021 di sebuah cawangan bank di daerah ini.

Terdahulu, Mohammad Zaki yang tidak diwakili peguam memohon hukuman diringankan kerana mempunyai tanggungan isteri dan anak.

“Ini kesalahan pertama saya yang kini telah insaf dan amat menyesali perbuatan berkenaan. Selain tanggungan keluarga, saya diserang strok dua tahun lalu dan perlu menjalani rawatan perubatan setiap minggu,” katanya.

Sumber – KOSMO! ONLINE



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button