40,000 warga Jepun mati sebatang kara di rumah
Oleh – Syeikh Baran
Kira-kira 40,000 orang meninggal dunia secara bersendirian di rumah dalam tempoh enam bulan pertama da tahun ini di Jepun, lapor Perbadanan Penyiaran Britain (BBC) kelmarin.
Agensi Polis Negara menyatakan, mayat hampir 4,000 orang daripada jumlah keseluruhan itu dijumpai lebih sebulan selepas mereka meninggal dunia, manakala rangka 130 yang lain ditemukan dalam masa setahun.
Sebelum ini, Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) mengisytiharkan Jepun sebagai negara yang mempunyai populasi paling tua di dunia.
Laporan oleh Agensi Polis Negara itu disiarkan selepas Jepun menyaksikan peningkatan jumlah penduduk yang hidup dan meninggal dunia berseorangan di kediaman mereka.
Data sama menunjukkan seramai 37,227 orang yang tinggal bersendirian ditemui meninggal dunia di rumah, dengan golongan berusia 65 tahun dan ke atas menyumbang lebih 70 peratus kepada statistik itu.
Meskipun dianggarkan 40 peratus mangsa ditemui dalam masa satu hari, laporan polis menyebut hampir 3,939 mayat ditemukan lebih sebulan selepas berlaku kematian, manakala 130 lagi ‘terbaring’ tanpa disedari selama sekurang-kurangnya setahun sebelum penemuan.
Laporan sama menyatakan, sebanyak 7,498 mayat yang ditemui adalah milik individu yang berusia 85 tahun ke atas, menjadikan mereka kumpulan data terbesar.
Seramai 5,920 mayat lain yang ditemukan adalah milik kumpulan berusia antara 75 tahun hingga 79 tahun, manakala mereka yang berumur antara 70 tahun hingga 74 tahun pula menyumbang kepada penemuan sebanyak 5,635 mayat. – AGENSI
Sumber – KOSMO! ONLINE