Isu SD: Kami terbuka untuk siasatan – Ahmad Zahid

Oleh – Syeikh Baran


Isu SD: Kami terbuka untuk siasatan – Ahmad Zahid

“Kami terbuka untuk siasatan lanjut dilakukan oleh pihak berwajib,” demikian tegas Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.



Beliau mengulas tentang laporan polis yang dibuat mendakwa beliau menipu Yang di-Pertuan Agong Ke-16 berhubung akaun bersumpah (SD) Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN)

Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO malah menegaskan, beliau berharap pihak berwajib polis, Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) atau Peguam Negara akan melakukan siasatan terhadap perkara itu.

“Tentang perkara itu saya harap pihak berwajib sama ada pihak polis, ROS atau AG (Peguam Negara) sendiri boleh melakukan siasatan.

“Ini kerana seramai 10 daripada Ahli Parlimen BN yang telah tandatangani ikrar atau SD (telah) menandatangani dokumen bahawa kuasa untuk membentuk kerajaan diberikan kepada Pengerusi BN.



“Kerusi yang dimenangi itu bukan hak individu tetapi hak parti atau BN,” katanya pada sidang media sempena Perhimpunan Agung Tahunan MyPPP ke-71 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini hari ini.

Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) baru-baru ini meminta Polis Diraja Malaysia (PDRM) supaya menyiasat Ahmad Zahid.

Armada Bersatu mendakwa Ahmad Zahid menipu Yang di-Pertuan Agong Ke-16, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berhubung SD Ahli Parlimen BN memberi sokongan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri Ke-10.

Pengarah Pilihan Raya Pemuda Perikatan Nasional (PN), Akmal Zahin Zainal dipetik sebagai mendakwa, ketika itu Dewan Tertinggi BN kekal dengan pendirian berkecuali dan tidak menyokong mana-mana pihak.



Dalam pada itu, Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri menegaskan, SD tersebut tidak ditandatangani oleh Ahli Parlimen BN dalam keadaan tekanan.

“Konon dalam keadaan tekanan. Kita ada rakaman video bagi setiap seorang yang menandatangani setiap dokumen-dokumen itu,” katanya.

Sumber – KOSMO! ONLINE



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button