Warga emas hilang ditemui tidak bernyawa dalam paya
Oleh – Syeikh Baran
Seorang lelaki warga emas yang hilang hampir 17 jam dijumpai tidak bernyawa selepas tergelincir ke dalam paya di Kampung Beta, Hulu Nilam Puri, di sini hari ini.
Mangsa, Fakhrurazi Mamat, 65, dipercayai hilang selepas keluar ke kebun berdekatan rumahnya pada pukul 6.30 petang semalam.
Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Ketereh, Hasri Hussin berkata, mangsa ditemukan dalam keadaan tersungkur dalam paya buatan sendiri sedalam lima meter.
Mangsa dijumpai oleh penduduk kampung pada pukul 10 pagi selepas usaha mencarinya sejak pukul 9 malam, namun menemui jalan buntu.
Difahamkan anak lelakinya yang berusia dalam lingkungan 30-an sudah membuat laporan polis selepas mendapati bapanya tidak pulang selepas keluar ke kebun yang terletak kira-kira 50 meter dari rumah.
“Kita menerima panggilan pada pukul 10.10 pagi tadi. Sepasukan anggota bomba kemudian dikejarkan ke lokasi kejadian,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Hasri memberitahu, anggota bomba yang tiba di lokasi kejadian mendapati mangsa sudah meninggal dunia. Siasatan mendapati mangsa dipercayai tergelincir ke dalam paya ketika melalui kawasan berkenaan.
Sumber – KOSMO! ONLINE