Nelayan mengintai, rakam video wanita buang air besar dijel setahun

Oleh – Syeikh Baran


Nelayan mengintai, rakam video wanita buang air besar dijel setahun

Seorang nelayan dipenjara setahun selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas dua pertuduhan iaitu mengaibkan dengan mengintai, merakam video seorang wanita membuang air besar dan memiliki gambar lucah di dalam telefon bimbit pada minggu lalu.



Tertuduh, Muhamad Aiman Aqmal Mohammad, 23, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Rais Imran Hamid.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa dengan maksud mengaibkan iaitu mengintai dan merakam video pada pukul 7.07 pagi, 31 Mei lalu yang menunjukkan seorang wanita berusia 48 tahun sedang membuang air besar di dalam tandas sebuah rumah di sini.

Muhamad Aiman Aqmal didakwa mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, lelaki itu dituduh memiliki gambar lucah di dalam telefon bimbitnya dan didakwa mengikut Seksyen 292 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.



Kedua-dua pertuduhan itu dilakukan di sebuah rumah di Kampung Pulau Kundor di sini kira-kira pukul 11.40 malam pada 26 Ogos lalu.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nursyafiqah Mohamad manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu, Nursyafiqah memohon satu hukuman setimpal kerana perbuatan tertuduh telah mengaibkan mangsa namun Muhamad Aiman Aqmal dalam rayuannya memohon hanya mahu dikenakan hukuman penjara sahaja selepas mengakui tidak mampu membayar denda kerana hanya bekerja sebagai nelayan.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara setahun atas kedua-dua pertuduhan itu yang berjalan serentak bermula tarikh tangkapan iaitu 26 Ogos lalu.



Pada prosiding berasingan di Mahkamah Sesyen di sini hari ini, Muhamad Aiman Aqmal turut didakwa atas pertuduhan melakukan amang seksual dengan mencabul seorang kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun sembilan bulan pada 24 Julai lalu.

Tertuduh bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan itu dibacakan di hadapan oleh Hakim Nik Habri Muhamad.

Sumber  – KOSMO! ONLINE



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button