Pendakwaan mohon rakaman CCTV tidak bocor, tarikh bicara kes Avitan Shalom dijadual semula

Oleh – Syeikh Baran


Pendakwaan mohon rakaman CCTV tidak bocor, tarikh bicara kes Avitan Shalom dijadual semula

Pihak pendakwaan dalam kes warga Israel Avitan Shalom berkaitan senjata api dan peluru memohon supaya rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) terhadap kes itu tidak didedahkan kepada umum.



Perkara itu dimaklumkan Timbalan Pendakwa Raya Rullizah Abdul Majid pada sebutan semula kes itu di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Norina Zainol Abidin di sini hari ini.

Menurut Rullizah, sebaliknya, rakaman CCTV itu hanya boleh dijadikan rujukan kepada saksi pakar sahaja pada perbicaraan yang bermula kelak.

“Untuk tujuan rekod, pihak pendakwaan mohon untuk CCTV yang diserahkan kepada pihak peguam tidak didedahkan kepada mana-mana pihak atau umum,” kata Rullizah

Mendengar perkara itu peguam Jeffrey Ooi yang mewakili Avitan tidak membantah berhubung permohonan tersebut dan hanya akan menunjukkan rakaman CCTV pada saksi pakarnya tanpa didedahkan kepada umum.



Terdahulu berkaitan dengan dokumen kes, pihak pendakwaan memaklumkan telah selesai menyerahkan kesemua dokumen berkaitan kes termasuk laporan CCTV itu dan analisis laporan forensik kepada pihak pembelaan.

Sementara itu mengenai perbicaraan, pihak pendakwaan memohon supaya tarikh-tarikh perbicaraan yang ditetapkan sebelum ini dijadualkan semula.

Ia berikutan salah seorang Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Mustaffa P.Kunyalam dalam kes ini, terlibat dengan satu lagi perbicaraan kes iaitu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang bertindih dengan kes perbicaraan Avitan.

Sebelum ini tarikh-tarikh perbicaraan itu ialah 30 September, 1 hingga 3 Oktober yang kemudian bersambung pada 7 hingga 11 Oktober.



“Jadi pihak pendakwaan mohon 30 September yang merupakan hari pertama perbicaraan, dijadikan sebagai sebutan kes untuk pihak-pihak menjadual semula tarikh-tarikh perbicaraan,” kata Rullizah yang kemudiam permohonan itu juga tidak dibantah pembelaan.

Selepas mendengar makluman kedua-dua belah pihak Hakim Norina menetapkan 30 September ini bagi sebutan semula kes dan penetapan tarikh perbicaraan yang baharu.

Pada masa sama, mahkamah turut membenarkan permohonan pihak pendakwaan supaya rakaman CCTV tidak diedahkan kepada umum selain rakaman itu hanya boleh diberikan pada saksi pakar pembelaan.

Sebelum ini Avitan, 38, mengaku tidak bersalah terhadap dua pertuduhan pindaan yang dibacakan semula terhadapnya dalam bahasa Inggeris.



Mengikut pertuduhan pindaaan pertama, Avitan didakwa memiliki sekotak Shell Shock NAS3 9mm mengandungi lapan butir peluru, tiga kotak Bullet Master Co Ltd mengandungi 150 butir peluru dan 42 butir peluru di dalam tiga senjata berlainan tanpa lesen atau permit senjata mengikut Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960 yang membawa hukuman penjara tidak melebihi tujuh tahun atau denda tidak melebihi RM10,000 atau kedua-duanya.

Bagi pertuduhan pindaan kedua, Avitan didakwa berdagang enam senjata api iaitu Glock 19 USA 9×19 (Nombor Siri AEGS286); Sig Sauer P3205P (Nombor Siri 58C283463); Cougar 8000FT (Nombor Siri T6429-10G002496); Glock 17 Gen4 Austria 9×19 (Nombor Siri: BDZZ090); M&P 9C Smith & Wesson Springfield MA USA (Nombor Siri: DSW9077) dan Stoeger Cougar 8000F (Nombor Siri T6429-08-A029304).

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 7(1) Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 yang membawa hukuman penjara tidak kurang 30 tahun, dan tidak lebih 40 tahun serta sebatan tidak kurang enam kali.

Kedua-dua kesalahan itu didakwa dilakukan di dalam sebuah bilik hotel di Jalan Ampang, di sini antara pukul 6.46 petang pada 26 Mac dan 6 petang pada 28 Mac lepas.



Sumber – KOSMO! ONLINE

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button