Dua beradik jaga kedai runcit parah ditetak perompak

Oleh – Syeikh Baran


Dua beradik jaga kedai runcit parah ditetak perompak

Dua beradik lelaki warganegara Pakisan cedera selepas mereka ditetak dengan parang oleh dua lelaki yang merompak kedai runcit tempat mereka bekerja di Kampung Periok, Chabang Empat di sini tengah malam tadi.



Dalam kejadian kira-kira pukul 12.30 malam tadi, salah seorang mangsa parah pada lengan kirinya, manakala seorang lagi cedera ringan.

Ketua Polis Daerah Tumpat, Asisten Komisioner Mohd. Khairi Shafie berkata, siasatan mendapati, dua beradik itu sedang menjaga kedai runcit tersebut sebelum didatangi dua suspek yang mahu merompak premis mereka dengan menutup muka dan bersenjatakan parang.

Menurutnya, kedua-dua mangsa bertindak melawan suspek sehingga mereka ditetak dengan parang pada bahagian tangan masing-masing.

“Dua beradik itu dihantar ke Hospital Tumpat di sini untuk rawatan lanjut



Keadaan salah seorang mangsa yang cedera ditetak di sebuah kedai runcit di Kampung Periok, Chabang Empat dekat Tumpat tengah malam tadi. FOTO MEDIA SOSIAL

“Semakan rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian mendapati, suspek menaiki kereta jenis Proton Saga BLM dengan nombor pendaftaran BKJ 897,” katanya ketika dihubungi pemberita hari ini.

Mohd. Khairi memberitahu, pemilik kereta tersebut sedang dikesan untuk siasatan lanjut.

Menurutnya, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu boleh menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Tumpat di talian 09-725 7222.

Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan kerana merompak.



Sumber – KOSMO! ONLINE

 

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button