Suri rumah didakwa terima deposit RM23,000 dalam akaun bank tanpa lesen

Oleh – Syeikh Baran


Suri rumah didakwa terima deposit RM23,000 dalam akaun bank tanpa lesen

Seorang suri rumah didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menerima wang deposit menerusi akaun banknya sebanyak RM23,000 tanpa lesen sah pada tahun lalu.



Tertuduh, Nurmaisarah Azman, 36, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Zulkifli Abllah.

Mengikut pertuduhan, wanita itu dituduh menerima wang deposit berjumlah RM23,000 tanpa lesen sah di sebuah bank di Jalan Mahmood di sini pada 15 Julai sehingga 14 Ogos 2023.

Nurmaisarah didakwa mengikut Seksyen 137(1) Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 137 (2) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda sehingga RM50 juta atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Faiz Fitri Mohamad manakala tertuduh diwakili peguam Nabila Mohd. Noordin.



Terdahulu, Ahmad Faiz Fitri tidak mencadangkan jaminan kepada tertuduh.

Nabila kemudian memohon ikat jamin yang rendah kerana anak guamnya merupakan seorang suri rumah dan hanya membantu suami yang bekerja di kedai kopi dengan pendapatan harian sebanyak RM45 selain perlu menanggung empat orang anak.

Mahkamah membenarkan jaminan RM15,000 dengan seorang penjamin dan syarat tambahan iaitu tertuduh perlu melapor diri setiap bulan di balai polis berdekatan.

Mahkamah menetapkan 3 Oktober depan untuk sebutan semula kes dan serahan dokumen. Tertuduh membayar jaminan yang ditetapkan mahkamah.



Sumber – KOSMO! ONLINE

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button