Warga IPD Melaka Tengah dihalau keluar adalah fitnah – KP Melaka

Oleh – Syeikh Baran


Warga IPD Melaka Tengah dihalau keluar adalah fitnah – KP Melaka

Klip video tular kononnya warga Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah dihalau keluar dan ditempatkan di sebuah bangunan di Batu Berendam tanpa sebarang kemudahan asas adalah tidak benar serta berbaur hasutan.



Ketua Polis Melaka, Datuk Zainol Samah berkata, sebaliknya pemindahan sementara warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu dibuat selepas bangunan tersebut yang telah mencecah usia 100 tahun tidak lagi selamat untuk digunakan.

“Bangunan IPD Melaka Tengah telah digunakan sejak 1942 sebagai pejabat pentadbiran kerajaan British sebelum diserahkan kepada polis pada 1948, yang mana usianya telah mencecah 100 tahun.

“Bangunan ini tidak lagi selamat untuk digunakan serta memerlukan kos yang tinggi bagi pembaikan, demi memastikan keselamatan warga polis dan keselesaan orang awam, kerajaan bersetuju memindahkan operasi IPD ke bangunan sementara,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

“Bangunan sementara ini amat sesuai dan selamat digunakan memandangkan ia turut mempunyai Sijil Kesempurnaan Menduduki (CF) daripada Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah sejak 2003 dan kini dibaik pulih hampir 96 peratus untuk dijadikan ruang pejabat bagi kesediaan IPD beroperasi.



“Orang ramai dinasihatkan tidak mudah percaya dengan berita tidak berasas yang berbaur hasutan. Ekoran daripada penularan klip itu, satu laporan polis telah dibuat dan kes disiasat mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” ujarnya.

Terdahulu tular klip video di TikTok mendakwa kononnya daripada warga IPD Melaka Tengah di Banda Hilir dihalau dari bangunan tersebut dan dipindahkan ke lokasi baharu itu yang tidak mempunyai CF serta tidak dilengkapi kemudahan lain.

Sumber – KOSMO! ONLINE.



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button