Pengadu hantar gambar wajah, badan sebab terikut permintaan Ebit Lew
Oleh – Syeikh Baran
Pengadu yang juga saksi kesembilan memberitahu Mahkamah Majistret di sini hari ini bahawa mesej ‘gemuk’, ‘nanti nampak jerawat’ yang dihantar kepada Ebit Lew bukan untuk berbincang mengenai keadaan fizikalnya.
Sebaliknya, mesej itu dihantar kepada pendakwah itu kerana dia mahu mengelak Ebit daripada terus meminta gambarnya. Itu antara kandungan mesej yang dihantar pengadu pada 29 Mac 2021 kepada Ebit seperti yang direkodkan dalam laporan forensik digital (ID-55).
Pengadu menyatakan tidak bersetuju apabila dikatakan dia berada pada tahap selesa semasa berbual mengenai dirinya yang gemuk dan ‘nampak jerawat’.
Malah, pengadu juga tidak setuju dengan pertanyaan peguam bela, Datuk Ram Singh bahawa dia seorang yang mudah didekati kerana mudah berbincang tentang imej diri dan badannya dengan individu lain.
Melalui mesej pada 5 April 2021 dalam ID-55, pengadu turut menyatakan dia bersetuju mesej ‘Buat taubat nasuha awak, sama-sama kita. Insya-Allah saya akan jaga aib ini’ menunjukkan ada penyesalan dan konflik moral dalam dirinya.
Katanya, dalam mesej ‘Awak baik, anggap ini ujian. Dengan saya tidak apa, jangan buat lagi dengan orang, bahaya awak. Nama awak terkenal’, dia tidak setuju bahawa mesej tersebut menunjukkan kerelaannya terhadap Ebit.
Malah, pengadu menyatakan tidak setuju bahawa perbuatannya menghantar gambar payudara menyimpang daripada tujuan asal untuk menyertai Program Keluarga Sunnah.
Katanya, tidak ada pujukan daripada pihak luar sama ada suaminya, Akhi Fairuz atau Firdaus Wong yang mendorongnya untuk membuat laporan polis terhadap Ebit.
Sumber – KOSMO! ONLINE