Atlet Olimpik maraton Paris 2024 mati dibakar teman lelaki

Oleh – Syeikh Baran


Atlet Olimpik maraton Paris 2024 mati dibakar teman lelaki

 Atlet Olimpik Uganda, Rebecca Cheptegei meninggal dunia di sebuah hospital di Kenya selepas 80 peratus  badannya melecur selepas diserang oleh pasangannya pada Ahad lepas.



Cheptege, 33, menerima rawatan di Hospital Pengajaran dan Rujukan Moi di bandar Eldore.

Jurucakapnya, Owen Menach mengesahkan kematian Cheptege hari ini.

Presiden Jawatankuasa Olimpik Uganda, Donald Rukare berkata dalam catatan di laman X: “Kami telah mengetahui tentang pemergian menyedihkan atlet Olimpik kami, Rebecca Cheptege berikutan serangan ganas oleh teman lelakinya. 

“Semoga rohnya tenang. Kami mengutuk sekeras-kerasnya keganasan terhadap wanita.



“Ini adalah tindakan pengecut dan tidak masuk akal yang menyebabkan kehilangan seorang atlet hebat. Legasinya akan terus kekal,” tambah Rukare.

Komander polis Daerah Trans-Nzoia, Jeremiah ole Kosiom berkata pada Isnin lepas bahawa teman lelaki Cheptegei, Dickson Ndiema membeli petrol, menuangnya dan membakar mangsa.

 “Kedengaran pasangan itu bergaduh di luar rumah mereka. Semasa pertengkaran, lelaki itu dilihat mencurahkan cecair ke atas mangsa dan menyalakan api,” kata Kosiom kepada akhbar Standard. 

“Suspek turut terperangkap dalam kebakaran dan melecur teruk,” tambahnya.



Ndiema sedang dirawat di hospital yang sama dengan Cheptegei.

Ibu bapa Cheptegei berkata, anak perempuan mereka membeli tanah di Trans-Nzoia iaitu lokasi berdekatan dengan banyak pusat latihan olahraga di negara itu.

Laporan yang difailkan oleh ketua polis tempatan menyatakan bahawa pasangan itu kedengaran berebut tanah tersebut sebelum kebakaran bermula.

Bulan lalu,  Cheptegei menduduki tempat ke-44 dalam acara maraton di Sukan Olimpik Paris dan dia berada di tempat ke-14 dalam acara itu pada kejohanan dunia tahun lepas di Budapest. 



Pada 2022, dia memenangi perlumbaan gunung di Kejohanan Larian Gunung dan Jejak Dunia di Thailand. – AGENSI 

Sumber – KOSMO! ONLINE

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button