Bekas SU persatuan dipenjara 13 tahun, enam sebatan

Oleh – Syeikh Baran


Seorang bekas setiausaha sebuah persatuan penggiat seni kekal dipenjara 13 tahun dan enam sebatan oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini atas pertuduhan melakukan amang seksual dan persetubuhan luar tabii terhadap kanak-kanak berusia lapan tahun, empat tahun lalu.



Hakim Datuk Noorin Badaruddin memutuskan demikian selepas menolak permohonan tertuduh yang berusia, 33, untuk mengetepikan sabitan dan hukuman yang dikenakan terhadapnya oleh Mahkamah Sesyen di sini pada 12 September 2023.

Semasa membaca keputusan penghakimannya, Hakim Noorin berkata, tiada sebab untuk Mahkamah Tinggi mengganggu dapatan yang dibuat oleh Hakim Mahkamah Sesyen.

“Dalam kes ini, laporan sokongan tidak diperolehi namun keterangan yang telah diberikan oleh mangsa dan saksi pendakwaan telah diterima (mahkamah). Mahkamah telah meneliti semua keterangan dikemukakan dan keterangan yang telah diberi oleh saksi pembelaan tidak dapat menimbulkan keraguan yang munasabah,” kata hakim itu.

Selepas mahkamah membuat keputusan tersebut, peguam bela, Mazri Mohamad mewakili tertuduh memohon penangguhan pelaksanaan hukuman sehingga rayuan terhadap keputusan hari ini diputuskan di Mahkamah Rayuan.



Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Shahrizzat Amadan mencadangkan ikat jamin yang diberikan oleh mahkamah rendah dibatalkan dan perayu menjalani hukuman yang disabitkan.

“Pihak pembelaan tidak menyatakan isu keistimewaan yang membolehkan perayu kekal diberikan jaminan daripada menjalani hukuman itu. Selain itu, permohonan penangguhan hukuman perlu difailkan secara rasmi,” katanya.

Noorin kemudiannnya membenarkan permohonan perayu untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman tersebut tertakluk kepada notis rayuan yang perlu difailkan pada atau sebelum 9 September ini.

“Ikat jamin sebanyak RM20,000 yang dikenakan terhadap perayu dikekalkan namun dia perlu memenuhi syarat tambahan iaitu melapor diri di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Selangor, sekali setiap bulan. Sekiranya rayuan tidak dibuat, perintah penangguhan hukuman ini akan dibatalkan,” katanya.



Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa atas dua pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang kanak-kanak lelaki bagi tujuan seksual. Difahamkan, mangsa merupakan anak asuhan kepada ibu tertuduh.

Kesalahan itu dilakukan di dalam sebuah bilik rumah kediaman tertuduh di Jalan Ipoh di sini di antara pukul 8 dan 9 malam, 2 hingga 7 November 2020.

Lelaki itu didakwa mengikut Seksyen (14)(a) dan Seksyen (14)(b) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual terhadap Kanak-Kanak 2017 dan boleh dihukum di bawah Seksyen yang sama yang membawa hukuman yang penjara sehingga 20 tahun dan boleh juga disebat.

Bagi pertuduhan ketiga pada masa, tarikh dan tempat sama, lelaki itu didakwa sengaja melakukan persetubuhan di luar tabii tanpa kerelaan atau bertentangan dengan kemahuan mangsa dengan meletakkan ketakutan kematian terhadap kanak-kanak tersebut.



Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 377A Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun serta sebat.

Pada 12 September 2023, Hakim Mahkamah Sesyen, Tasnim Abu Bakar menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan dua sebatan bagi pertuduhan pertama dan kedua manakala penjara 13 tahun serta dua sebatan bagi pertuduhan ketiga di akhir perbicaraan penuh.

Beliau turut memerintahkan tertuduh menjalani sesi kaunseling selama tempoh pemenjaraan dan pengawasan polis selama dua tahun selepas menjalani hukuman.

Bagaimanapun, hukuman pemenjaraan itu berjalan serentak dari tarikh jatuh hukum mejadikannya tertuduh perlu dipenjara selama 13 tahun dan enam sebatan.



Sumber – KOSMO! ONLINE

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button