Geng Thamu, Geng Tongkol masuk perangkap polis

Oleh – Syeikh Baran


Geng Thamu, Geng Tongkol masuk perangkap polis

Geng Thamu yang aktif melakukan kegiatan pecah kereta dan melarikan barang berharga tumpas selepas dua ahlinya ditahan polis, kelmarin.



Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Ahmad Sukarno Mohd. Zahari berkata, tangkapan itu dibuat susulan laporan yang diterima berhubung insiden kecurian dalam kenderaan di Commercial Park, Jalan Kepong di sini.

Menurut Ahmad Sukarno, dua suspek yang ditahan membabitkan seorang lelaki warga tempatan dan warga Pakistan.

“Polis turut merampas sebuah motosikal, dua lampu suluh, satu pemutar skru mata leper serta enam telefon bimbit dan 18 komputer riba pelbagai jenama termasuk enam ‘hard disc’.

“Nilai rampasan keseluruhan dianggarkan berjumlah RM60,000. Hasil kejayaan ini, polis berjaya menyelesaikan sebanyak 20 kes kecurian dalam kereta yang berlaku di sekitar Kuala Lumpur,” ujarnya.



Kata Ahmad Sukarno, hasil semakan mendapati suspek utama mempunyai empat rekod kesalahan jenayah.

“Kedua-dua suspek direman selama tiga hari sehingga hari ini untuk membantu siasatan dan kes disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan,” jelasnya.

Dalam perkembangan lain, Ahmad Sukarno memaklumkan, polis turut berjaya menahan empat lelaki dipercayai ahli Geng Tongkol yang disyaki terlibat dalam kegiatan pecah sekolah.

Menurut Ahmad Sukarno, pihaknya menerima laporan berkenaan insiden pecah pejabat sebuah sekolah rendah di Taman Bukit Maluri Kepong, di sini.



“Kesemua yang merupakan warga tempatan berusia antara 18 hingga 20 tahun ditahan di Bukit Jalil dan Batu Caves pada 20 Ogos lalu.

“Polis merampas pakaian digunakan suspek ketika kejadian, telefon bimbit, sebuah motosikal dan wang tunai berjumlah Rm1,300,” ujarnya.

Ahmad Sukarno berkata, suspek dipercayai menggunakan hasil daripada kegiatan jenayah tersebut untuk membeli alat ganti dan komponen motosikal.

“Kesemua suspek direman sembilan hari sehingga 29 Ogos dan diserah kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields dan IPD Shah Alam untuk siasatan lanjut,” jelasnya.



Tambah Ahmad Sukarno, susulan operasi tersebut, sebanyak 13 kes pecah sekolah berjaya diselesaikan melibatkan 10 kes di Kuala Lumpur dan tiga di Selangor.

Sumber – KOSMO! ONLINE

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button