Beberapa dewan selera MRSM gagal patuhi aspek kebersihan dalam radar Mara
Oleh – Syeikh Baran
Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki mendedahkan terdapat beberapa lagi dewan selera di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) yang dikesan gagal mematuhi aspek kebersihan.
Menurut beliau, MRSM berkenaan kini berada dalam radar pihaknya dan akan diambil tindakan pada bila-bila masa.
“Saya tahu dua ke tiga MRSM hadapi perkara yang sama (masalah kebersihan) dan mereka pun tahu siapa mereka.
Menurut beliau, pihaknya sama sekali tidak berkompromi terhadap kontraktor di 57 dewan selera MRSM sekiranya didapati mengambil mudah aspek kebersihan dan penyediaan makanan hingga mendedahkan risiko kesihatan kepada pelajar.
Malah katanya, beliau juga tidak akan gentar atau tunduk kepada mana-mana pihak dan tekanan dalam menangani isu tersebut.
“Saya tidak kira kabel sebesar mana sekali pun, sekiranya melibatkan nyawa pelajar, saya tidak akan berkompromi,” ujarnya.
Sementara itu, mengulas mengenai dewan selera MRSM Taiping, Asyraf Wajdi berkata, Kementerian Kesihatan (KKM) hari ini mengeluarkan notis penutupan terbaru dewan selera itu selama 14 hari bermula hari ini hingga 20 September depan.
Katanya, arahan juga telah diberikan kepada Bahagian Perundangan Mara untuk memperhalusi segala aspek bagi mengambil tindakan ke atas kontraktor berkenaan.
“Difahamkan, kontraktor ini kali pertama dengan Mara dan kontraknya akan tamat pada Disember ini.
“Tindakan segera akan diambil bagi menamatkan kontrak mereka berserta tindakan undang-undang. Ini juga bagi memberi isyarat kepada kontraktor lain agar jangan sesekali mengambil pendekatan sambi lewa dan cincai,” katanya.
Sumber – KOSMO! ONLINE