Datuk didakwa tipu pelaburan RM100 juta, guna dokumen palsu

Oleh – Syeikh Baran


Datuk didakwa tipu pelaburan RM100 juta, guna dokumen palsu

Seorang ejen unit amanah berpangkat Datuk didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas lima pertuduhan menipu Lembaga Pembangunan Seni Visual Negara (LPSVN) berhubung pelaburan RM100 juta dan memalsukan dokumen lembaga sama, tujuh tahun lalu.



Bagaimanapun tertuduh Ahmad Azwan Aboo Mansoor, 54, mengaku tidak bersalah selepas semua pertuduhan dibaca di hadapan Hakim Hamidah Mohamed Deril.

Bagi pertuduhan pertama, tertuduh didakwa menipu LPSVN dengan memperdaya agensi itu untuk memasuki Perjanjian Pelaburan CIMB Islamic Dali Equity Theme Fund secara representasi salah dan dengan curang mendorong lembaga itu menyerahkan cek bernilai RM100 juta yang mana LPSVN tidak akan berbuat demikian sekiranya tidak diperdayakan.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di LPSVN, Jalan Temerloh, Off Jalan Tun Razak, Wangsa Maju di sini sini pada 10 Jun 2014 yang didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Hukuman bagi seksyen itu memperuntukkan penjara selama tempoh tidak kurang setahun dan tidak lebih 10 tahun dan sebat dan boleh juga dikenakan denda, jika sabit kesalahan.



Bagi pertuduhan kedua dan ketiga, Ahmad Azwan didakwa dengan curangnya menggunakan sebagai tulen dokumen Pembayaran Dividen dan CIMB Islamic Dali Equity Theme Fund, yang diketahui sebagai palsu.

Sementara pertuduhan keempat dan kelima, dia didakwa menggunakan sebagai tulen dua dokumen Pengesahan Pembayaran Zakat untuk Pelaburan CIMB Islamic Dali Equity Theme Fund bagi tahun 2016 dan 2017 yang diketahui sebagai palsu.

Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di lokasi sama pada 9 Jun 2017, 28 Julai 2017, 8 Disember 2017 dan 22 Mei 2018 yang didakwa mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum Seksyen 465 kanun sama yang memperuntukkan penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Norfauzani Mohd. Nordin memohon jaminan RM100,000 bagi kelima-lima pertuduhan.



Bagaimanapun, peguam Harjinder Singh Sandhu mewakili tertuduh membantah jaminan tinggi dikenakan ke atas anak guamnya kerana sudah diisytiharkan bankrap selain hilang punca pendapatan.

“Tertuduh sendiri mempunyai penyakit darah tinggi dan isteri menghidap kanser… tertuduh diperlukan di rumah untuk membantu isteri dalam keadaan genting, “kata peguam itu.

Selepas mendengar permohonan dan makluman kedua-dua pihak, Hakim Hamidah membenarkan ikat jamin RM50,000 bagi semua pertuduhan.

Tarikh 21 Oktober ini ditetapkan sebutan semula kes.



Sumber – KOSMO! ONLINE

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button