Empat rakan dijel 20 bulan, sorok mayat dua lelaki

Oleh – Syeikh Baran


Empat rakan dijel 20 bulan, sorok mayat dua lelaki

Empat rakan dijatuhi hukuman penjara 20 bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini selepas mengaku bersalah menyembunyikan kematian dua lelaki yang mayatnya ditemui di dalam semak di tepi jalan Kampung Ujong Padang di Cheng, di sini, Julai tahun lalu.



Tertuduh, Lok Kian Seng, 48; Daniel Ho Chin Cher, 34; Woon Chee Weng, 45 dan Lim Chien Voon, 42, membuat pengakuan itu sejurus dua pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Majistret Khairunnisak Hassni.

Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, tertuduh didapati secara bersama-sama seorang lagi yang masih bebas, dengan sengaja dan mempunyai sebab untuk menghilangkan keterangan bagi suatu kesalahan dengan menyembunyikan kematian dua lelaki iaitu Stanley Chew Kok Kin, 23, dan Soo Yao Long, 26.

Perbuatan itu dilakukan antara 7 sehingga 10 Julai 2023 di sebuah rumah bernombor di Taman Paya Rumput Perdana, dalam daerah Melaka Tengah.

Bagi perbuatan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 201 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukan hukuman penjara boleh sampai tujuh tahun dan dikenakan denda.



Terdahulu, Peguam Nahdan Rengganathan Abdullah yang mewakili Daniel dan Chien Voon merayu agar hukuman ringan diberikan kepada anak guamnya dengan alasan mereka masing-masing bekerja sebagai penjual buah serta penghantar makanan.

Tambahnya, mereka juga mengalami tekanan mental selepas dituduh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan pada sebutan pertama pada 11 Ogos tahun lalu.

Sementara itu, Kian Seng diwakili Peguam Asyraaf Abu Bakar Hamzah, manakala Chee Weng tidak diwakili peguam. Kedua-dua mereka merayu agar hukuman diringankan dengan alasan merupakan penyara tunggal keluarga.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Wardah Ishhar bagaimanapun memohon hukuman setimpal diberikan dengan alasan tindakan tertuduh membuang mayat tersebut menyebabkan polis kehilangan peluang mencari punca kematian mangsa.



Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman 20 bulan penjara daripada tarikh ditangkap dengan tiga tertuduh ditahan pada 20 Julai 2023 dan Chien Voon 23 Julai 2023.

Terdahulu, Kosmo! pada 10 Julai tahun lalu melaporkan mayat dua lelaki bertatu dipercayai dibunuh ditemui di dalam semak di tepi jalan Kampung Ujong Padang di Cheng.

Kedua-dua mayat ditemui dibungkus di dalam kanvas yang diikat menggunakan tali kabel sebelum ditemui seorang penghantar barang runcit kira-kira pukul 9 pagi.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, pihaknya percaya mangsa telah dibunuh di lokasi lain sebelum dibuang di lokasi berkenaan.



Sumber – KOSMO! ONLINE

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button