‘Scammer’ pelaburan paling suka guna Telegram cari mangsa

Oleh – Syeikh Baran


‘Scammer’ pelaburan paling suka guna Telegram cari mangsa

Polis Diraja Malaysia (PDRM) melaporkan Telegram menjadi medium yang paling banyak digunakan bagi penipuan pelaburan melibatkan 1,346 kes dalam masa lapan bulan.



Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, ia diikuti Facebook dan WhatsApp, masing-masing mencatatkan sebanyak 948 dan 873 kes.

Rekod itu merupakan antara 16 medium yang dikesan pihak bekruasa sejak 1 Januari hingga 31 Ogos lalu berjumlah 3,863 kes penipuan pelaburan membabitkan kerugian RM483.9 juta.

“Ia diikuti dengan Instagram (146), bersemuka (96), aplikasi temu janji sosial (61) dan lain-lain (393) termasuk WeChat, laman web dan sebagainya.

“Dapatan analisis mendapati kaum wanita paling ramai ditipu iaitu 2,124 kes dengan kerugian RM315.3 juta, manakala lelaki pula 1,740 kes melibatkan kerugian RM170 juta,” katanya dalam sidang akhbar di pejabatnya, di sini hari ini.



Tegas beliau, jumlah kerugian melibatkan penipuan pelaburan dalam talian adalah membimbangkan.

Ia susulan satu laporan polis dibuat pada 4 September lalu oleh lelaki berusia 49 tahun yang mendakwa kerugian RM4.6 juta oleh sindiket penipuan pelaburan.

“Menurut pengarah syarikat itu, dia ditawarkan untuk menyertai pelaburan modal perniagaan di sebuah syarikat berpangkalan di Amerika Syarikat pada 7 Disember 2022.

“Pengadu dijanjikan pulangan sebanyak AS$2.9 juta (RM12.54 juta) dalam tempoh setahun sekiranya membuat pelaburan AS$1 juta (RM4.32 juta).



“Pengadu turut diyakinkan bahawa syarikat tersebut mempunyai wang jaminan berjumlah AS$5 juta (RM21.63 juta) sekiranya mengalami kerugian dalam pelaburan tersebut,” ujarnya.

Menurut Ramli, pengadu terperdaya dengan tawaran yang diberikan dan bertindak memindahkan wang AS$1 juta daripada akaun syarikat miliknya ke akaun sebuah syarikat di luar negara.

Bagaimanapun, sehingga kini pengadu tidak menerima sebarang pulangan dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Beliau turut mencadangkan agar pengendali aplikasi tersebut diberikan kebertanggungjawaban terhadap kandungan yang dimuat naik ke aplikasi milik mereka.



“Ia malah telah pun dilaksanakan di luar negara apabila Ketua Pegawai Eksekutif Telegram dituduh oleh Mahkamah di Perancis kerana membenarkan aktiviti jenayah dilakukan melalui aplikasi tersebut.

“Mungkin tiba masanya untuk kita mempraktikkan pendekatan sama kerana kebanjiran pelbagai kandungan yang tidak dapat dipastikan kesahihannya telah menjadi satu ancaman yang membahayakan kepada masyarakat.

Sumber – KOSMO! ONLINE



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button