Wanita kesunyian, kurang kasih sayang senang kena ‘ulit’ scammer
Oleh – Syeikh Baran
Sebanyak 79.3 peratus daripada keseluruhan 2,223 mangsa ‘love scam’ yang dicatatkan sejak tahun 2022 sehingga Ogos tahun ini adalah wanita.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, ia berpunca daripada emosi wanita yang sedang kesunyian atau kekurangan dalam hubungan sebenar.
“Wanita yang sedang mencari hubungan percintaan lebih mudah terpengaruh oleh kata-kata dan tindakan yang penuh kasih sayang.
“Harapan untuk menemukan cinta sejati sering mendorong wanita untuk percaya pada cerita-cerita yang menarik walaupun mungkin kelihatan tidak masuk akal,” katanya dalam sidang akhbar di Pejabat JSJK, di sini hari ini.
Selain itu tambah beliau, ia juga berpunca daripada sikap wanita yang sering dilihat sebagai lebih terbuka dalam aspek emosi dan hubungan peribadi.
“Hal ini telah diexploit oleh sindiket dalam merangka strategi bagi menimbulkan rasa empati,” jelasnya.
Susulan itu Ramli menegaskan, individu yang sedang menjalinkan percintaan maya digesa untuk mengenal pasti tanda-tanda mereka sedang ditipu scammer.
“Antaranya, kenali tanda-tanda penipuan seperti permintaan kewangan yang tiba-tiba, cerita tidak konsisten atau profil yang terlalu bagus untuk menjadi kenyataan.
“Selalu persoalkan niat seseorang terutamanya bagi hubungan baru dan melibatkan bantuan kewangan, maklumat peribadi,” tambahnya.
Sumber – KOSMO! ONLINE