Sepanyol bedal Switzerland
Sepanyol bedal Switzerland
Geneva: Sepanyol meraikan kemenangan pertama sejak menjuarai Euro 2024 selepas membelasah Switzerland 4-1 dalam saingan Liga Negara-Negara walaupun beraksi sepuluh pemain awal pagi tadi.
Joselu membuka tirai jaringan dengan tandukan minit keempat dan Fabian Ruiz meledak gol kedua Sepanyol minit ke-13 sebelum pertahanan Robin Le Normand dibuang padang tujuh minit kemudian.
Zeki Amdouni merapatkan jurang buat Switzerland pada minit ke-41 untuk menceriakan penyokong tuan rumah tetapi pemain tengah Paris Saint-Germain Ruiz sekali lagi menjaringkan gol minit ke-77 sebelum pemain gantian Ferran Torres melengkapkan kemenangan bergaya pelawat tiga minit kemudian.
“Pasukan ini mampu mencipta kemenangan bersejarah,” kata pengurus Sepanyol Luis de la Fuente selepas tamat perlawanan.
“Saya sangat bangga dengan pemain saya. Mereka bangga beraksi untuk negara kami. Mereka pemain muda sangat berkualiti, tinggi nilai dan ia membantu peningkatan pasukan ini.”
“Saya sangat gembira dengan semua pemain terutamanya Joselu. Saya bangga dengannya. Dia pemain sangat saya hargai. Prestasinya memuncak dan dia menjalankan tugas dengan cemerlang sama ada bersama 11 pemain atau 10.”
Bekas penyerang Newcastle dan Alaves, Joselu yang kini bersama kelab Al-Gharafa di Qatar kagum dengan rakan sepasukannya mengawal perlawanan.
“Perlawanan hari ini menunjukkan tahap sebenar kami,” katanya kepada wartawan. “Kami beraksi sangat baik menentang pasukan hebat. Pemain menunjukkan kesungguhan, kemahiran dan kami mendapatkan kemenangan berbaloi hari ini.”
Dalam pada itu, Denmark menduduki tangga teratas Kumpulan 4 Liga A dengan enam mata selepas menewaskan Serbia 2-0 di Copenhagen awal pagi tadi.
Dalam perlawanan pertama mereka sejak menewaskan England 2-1 pada final Euro 2024 Julai lalu, Sepanyol memulakan misi mempertahankan gelaran Liga Negara-Negara dengan seri tanpa jaringan menentang Serbia di Belgrade manakala Switzerland tewas 0-2 di Copenhagen, Denmark yang menyaksikan kapten Granit Xhaka dan pertahanan Nico Elvedi dibuang padang.
Sepanyol bedal Switzerland
DISYORKAN UNTUK ANDA :
- KPN Sahkan Kertas Siasatan Teresa Kok Sudah Di Buka
- Layakkah Muhyiddin Gelar Dirinya Pejuang Bangsa Melayu
- Tiada sebab kukuh untuk pengundi DUN Mahkota bertukar parti.
LAWATI LAMAN FACEBOOK KAMI :