Bekas banduan menyesal 30 tahun jadi hamba pil kuda
Oleh – Syeikh Baran
Seorang bekas banduan mengakui hidupnya ibarat hamba kepada pil kuda apabila mengambil 10 biji dadah tersebut selama 30 tahun selepas menganggap ia sebagai ‘ubat’ kuat ketika bekerja sebagai tukang rumah.
Lelaki yang hanya mahu dikenali sebagai Jahar, 38, berkata, sepanjang tempoh itu sebanyak 108,000 biji pil kuda diambil sejak mula mengenali bahan terlarang tersebut semasa berusia 25 tahun.
Katanya, dia mengeluarkan wang sebanyak RM1,000 sebulan untuk melampiaskan nafsu ketagihannya terhadap pil kuda.
“Semua hasil penat lelah membanting tulang sebagai tukang rumah hangus dengan membeli dadah. Saya menyesal dengan apa yang telah dilakukan selama ini.
“Selain pengaruh rakan, sikap ingin mencuba mendorong saya untuk mengambil dadah. Akhirnya, saya menjadi hamba kepada pil kuda,” katanya ketika ditemui pemberita pada program Pelepasan Banduan Secara Lesen (PBSL) di Pusat Pemulihan Akhlak (PPA) Machang di sini hari ini.
Jahar merupakan salah seorang daripada 69 banduan yang dibebaskan menerusi program itu.
Dalam pada itu, Jahar memberitahu, dia nekad mahu meninggalkan dadah selepas lima kali masuk penjara atas kesalahan sama.
Katanya, dia sebelum ini tetap kembali menagih dadah selepas keluar penjara meskipun banyak kali dinasihatkan oleh ahli keluarga.
Sumber – KOSMO! ONLINE