Rebut parkir: Peniaga sayur mengaku tidak salah cederakan lelaki guna pisau

Oleh – Syeikh Baran


Rebut parkir: Peniaga sayur mengaku tidak salah cederakan lelaki guna pisau

Seorang peniaga sayur yang tular kerana menetak lelaki dalam kejadian pergaduhan di kawasan parkir Projek Perumahan Rakyat (PPR) didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini.



Walau bagaimanapun tertuduh, Wan Ken Fei, 28, mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan di hadapan Hakim Dr. Azrol Abdullah.

Mengikut pertuduhan pertama, Ken Fei didakwa dengan sengaja mencederakan Muhammad Aidiel Zulhilmi Mohammad Yusri, 24, dengan pisau. Oleh itu dia didakwa mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda atau sebatan.

Tertuduh turut didakwa memiliki pisau sepanjang 32 sentimeter tanpa kebenaran atau maksud yang sah dan dia melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6 Akta Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara lima tahun hingga 10 tahun dan sebatan.



Kesalahan dilakukan berhampiran bawah sebuah blok PPR Pekan Kepong di sini pukul 5.30 petang pada 4 September lalu.

Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Ikhwan Mohd. Nasir tidak menawarkan jaminan ke atas tertuduh kerana ia merupakan kesalahan yang tidak boleh dijamin.

Peguam Mohamad Zaidi Othman memohon mahkamah menggunakan budi bicara bagi membenarkan anak guamnya diikat jamin atas alasan menanggung dan menjaga ibu bapanya.

“Tertuduh menerima syarat tambahan seperti menyerahkan pasport kepada mahkamah, melaporkan diri di balai polis dan tidak mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan,” kata peguam itu.



Hakim Azrol bersetuju dengan permohonan pihak pendakwaan. Tarikh 11 Oktober ini ditetapkan untuk sebutan semula kes.

Terdahulu tular di media sosial memaparkan pergaduhan melibatkan dua individu terbabit sambil dileraikan oleh orang awam dipercayai berhubung isu parkir berlapis. Susulan kejadian itu, polis menahan seorang pekerja Pasar Borong Selayang dengan bantuan orang awam di lokasi kejadian pada hari sama.

Sumber – KOSMO! ONLINE



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button