Tesla buka pusat servis, bengkel pertama di Pulau Pinang
Oleh – Syeikh Baran
Tesla Malaysia mengembangkan operasinya di Pulau Pinang menerusi pembukaan pusat servis dan bengkel baharu di Seberang Jaya, dekat sini, hari ini.
Pengarah Serantau Tesla, Isabel Fan berkata, pusat servis itu dapat menawarkan sokongan servis yang lebih baik untuk pemilik Tesla di negeri ini.
”Pusat servis di Seberang Jaya yang memulakan operasi hari ini direka untuk memastikan semua keperluan servis dan pembaikan diuruskan dengan cekap.
”Kami yakin ia dapat memberikan kemudahan serta perkhidmatan yang lebih pantas kepada pelanggan Tesla di Pulau Pinang,” katanya selepas menghadiri majlis pelancaran stesen supercharger V4 di Gurney Plaza yang dirasmikan oleh Ketua Menteri, Chow Kon Yoew di sini hari ini.
Menurut Isabel, stesen supercharger V4 yang pertama di Pulau Pinang itu terletak di tempat letak kereta, tingkat bawah (B1), Gurney Plaza.
“Stesen ini dilengkapi dengan empat Supercharger V4 250 kilowatt yang canggih.
“Ia bukan sahaja akan memenuhi keperluan pengecasan tempatan untuk pemilik Tesla, tetapi juga menyokong perjalanan jarak jauh di seluruh wilayah utara Semenanjung,” katanya.
Tambahnya, pelancaran stesen itu merupakan satu langkah besar dalam meningkatkan aksesibiliti pengecasan kenderaan elektrik (EV) di Pulau Pinang.
“Tesla komited untuk terus memperluaskan infrastruktur pengecasannya di Malaysia untuk menyokong permintaan yang semakin meningkat,” katanya.
Selain itu, Isabel berkata, Tesla Malaysia akan meraikan penyerahan kenderaan Tesla kepada pelanggan di Pulau Pinang pada 12 dan 13 September ini.
“Sepanjang dua hari, 25 kenderaan akan diserahkan kepada pemilik baharu Tesla, menandakan pencapaian penting dalam perjalanan menuju mobiliti mampan di wilayah utara,” katanya.
Dalam pada itu, Kon Yeow berkata, Tesla telah menyediakan 11 stesen supercharger dengan 52 pengecas, serta 13 stesen pengecasan destinasi dengan 69 pengecas di seluruh Malaysia untuk memenuhi keperluan pengecasan di pelbagai kawasan.
“Saya yakin dengan adanya stesen supercharger di Pulau Pinang, ia akan memudahkan pemilik kenderaan Tesla untuk mengecas kenderaan masing-masing,” katanya.
Sumber – KOSMO! ONLINE