‘Abang bas’ didakwa lakukan amang seksual terhadap 2 budak termasuk anak saudara
Oleh – Syeikh Baran
Pemandu bas yang memuat naik rakaman video murid sekolah rendah dibawanya dan merujuk kanak-kanak perempuan terbabit sebagai ‘crush’ serta kesayangan, dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini.
Lelaki berumur 24 tahun itu bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan melakukan amang seksual terhadap dua kanak-kanak, termasuk seorang anak saudara perempuannya.
Bagi pertuduhan pertama, dia didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap anak saudaranya berusia empat tahun di dalam sebuah bas sekolah di Simpang Renggam, Kluang, antara jam 5 hingga 6 petang, April hingga bulan ini.
Dia didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 dan boleh dihukum bawah Seksyen 14 akta sama yang membawa hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan kedua pula, lelaki bujang itu didakwa melakukan amang seksual bukan fizikal dengan memerhati murid perempuan berusia sembilan tahun secara berulang kali di lokasi dan tarikh sama.
Hakim Sayani Mohd Nor membenarkan tertuduh diikat jamin RM30,000 bagi kedua-dua pertuduhan dengan seorang penjamin, serta melapor diri di balai polis berhampiran sebulan sekali dan tidak mengganggu kedua-dua mangsa serta saksi pendakwaan hingga kes selesai.
Mahkamah menetapkan 10 Oktober depan untuk sebutan semula kes bagi serahan dokumen.
Pendakwaan dikendalikan Pengarah Pendakwaan Negeri Johor, Abdul Ghafar Ab Latif, manakala tertuduh diwakili peguam, Umar Zulkarnain.
Khamis lalu, seorang pengguna media sosial X berkongsi tangkap layar hantaran TikTok milik seorang pemandu bas sekolah yang merujuk seorang murid perempuan sebagai ‘crush’ dan ‘kesayangan’.
Susulan itu, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri, mengarahkan pegawai Jabatan Pembangunan Kanak-Kanak (JPKK) untuk membuat laporan polis terhadap pemandu bas berkenaan.
Pada 6 September lalu, polis menahan pemandu bas berkenaan dan dia direman selama lima hari bagi membantu siasatan. – BERNAMA
Sumber – HARIAN METRO