Bayi 30 hari meninggal dunia di pusat jagaan berpantang
Oleh – Syeikh Baran
Bayi lelaki berusia 30 hari meninggal dunia selepas didapati tidak sedarkan diri setelah diberikan susu oleh jururawat yang ditugaskan menjaga mangsa di sebuah pusat jagaan berpantang di sini, pada Isnin.
Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd Rosdi Daud, berkata, polis menerima laporan berkaitan kejadian pada jam 5.30 pagi.
Menurut beliau, laporan diterima berkaitan pengabaian sehingga menyebabkan kematian bayi berkenaan.
“Hasil siasatan mendapati mangsa tidak sedarkan diri setelah diberikan susu oleh seorang jururawat yang ditugaskan menjaga bayi berkenaan.
“Mangsa kemudian dibawa ke Kota Bharu Medikal Center (KBMC) untuk rawatan, namun disahkan meninggal dunia,” katanya dalam satu kenyataan akhbar pada Selasa.
Mohd Rosdi berkata, susulan itu, suspek yang juga jururawat yang ditugaskan menjaga bayi berkenaan ditangkap pada jam 6 petang, Selasa.
“Suspek yang berusia lingkungan awal 20-an dan masih bujang itu akan dibawa ke Mahkamah Majistret Kota Bharu untuk mendapatkan permohonan tahanan reman esok (Rabu),” katanya.
Tambah Mohd Rosdi, kes disiasat mengikut Seksyen 31(1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan siasatan masih diteruskan.
Sumber – SINAR HARIAN