Penjenayah ‘otai’ didenda RM5,000, curi kabel TM

Oleh – Syeikh Baran


Penjenayah 'otai' didenda RM5,000, curi kabel TM

Lima lelaki termasuk salah seorang daripadanya memiliki 34 rekod jenayah lampau didenda RM5,000 seorang selepas mengaku bersalah atas pertuduhan mencuri dan merosakkan kabel milik Telekom Malaysia (TM), Khamis lalu.



Tertuduh, Arumugan Balasupramaniam, 35, Ang Jun Yan, 30, Shasitheran Veeraseelan, 48, Muhammad Yusri Marlon, 23, dan Mohd Azrul Hafez Mohd Hassan, 47, membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Suzana Mokhtar di Mahkamah Majistret di sini, tadi.

Mengikut pertuduhan, mereka berniat mencuri kabel TM sepanjang 100 meter (m) yang menyebabkan kerugian sehingga RM40,000 di Jalan Sakeh di sini, jam 4.30 pagi, 5 September lalu.

Justeru mereka didakwa mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-dua sekali.

Berdasarkan fakta kes, polis menerima laporan dibuat seorang lelaki berhubung kegiatan mencuri kabel milik TM pada hari kejadian.



Siasatan polis mendapati, kegiatan itu membabitkan tujuh individu dengan tertuduh pertama, Arumugan yang memiliki 34 rekod jenayah lampau adalah dalang di sebalik kejadian ini.

Kesemua 34 rekod lampau dimiliki Arumugan yang juga pemilik syarikat tong sampah roro dengan 26 daripada membabitkan kes jenayah, lima berkaitan dadah serta tiga rekod kecurian kabel.

Hasil makluman serta risikan dijalankan polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar, tujuh individu termasuk dua wanita berusia 29 dan 33 tahun ditahan.

Namun, kedua-dua wanita itu dibebaskan dengan jaminan polis.



Tangkapan itu membolehkan polis merampas beberapa peralatan digunakan antaranya pemotong kabel, papan tanda, kon, ati yang disyaki digunakan dalam kegiatan ini.

Tertuduh kemudian dibawa ke IPD Muar untuk siasatan lanjut kerana mencuri dan mengkhianati kabel milik TM.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Aquiilah Mohd Rofaie manakala kesemua tertuduh diwakili Nor Hafizah Abdullah daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).

Selepas mengambil kira rayuan dan hujahan kedua-dua pihak, mahkamah menjatuhkan hukuman denda RM5,000 seorang serta mengarahkan tertuduh dipenjara lima bulan jika gagal membayarnya.



Sumber – HARIAN METRO

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button