Wanita warga asing ditahan bawa senjata tajam dalam kereta

Oleh – Syeikh Baran


Wanita warga asing ditahan bawa senjata tajam dalam kereta

Polis Tawau menahan seorang wanita warga asing kerana memiliki senjata tajam di kawasan tempat letak kereta berhampiran Mahkamah Tawau pada Sabtu lalu.



Dalam kejadian pukul 12.56 tengah malam itu, sepasukan pegawai dan anggota daripada Strike Team Balai Polis Tawau mengesan sebuah pacuan empat roda dalam keadaan mencurigakan di kawasan terbabit.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, pasukan polis bertindak menahan dan menjalankan pemeriksaan ke atas kenderaan berkenaan.

“Hasil siasatan mendapati pacuan empat roda berkenaan dipandu oleh seorang wanita warga asing berusia 22 tahun.

“Pemeriksaan lanjut menemukan sebilah pisau bersarung yang disimpan di bawah kerusi bahagian pemandu pacuan empat roda berkenaan.



“Turut ditemukan sebatang kayu besbol dan kayu ulas yang diletakkan di bahagian atas kerusi penumpang belakang,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Menurutnya, wanita terbabit terus ditahan apabila gagal memberikan alasan munasabah membawa senjata berkenaan semasa siasatan dilakukan.

“Senjata tajam, kayu besbol dan kayu ulas berserta pacuan empat roda berkenaan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau untuk tindakan lanjut.

“Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 6(1) Akta Bahan Kakisan Letupan Dan Senjata Berbahaya 1958,” katanya.



Jasmin berkata, membawa sebarang senjata di dalam kereta tanpa kebenaran dan alasan kukuh adalah salah di sisi undang-undang.

Sumber – KOSMO! ONLINE

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button