‘Anak saya dikasari, bukan tersedak susu..’
Oleh – Syeikh Baran
“Anak saya bukan tersedak susu tapi dikasari, dipukul sehingga meninggal dunia.”
Choo Kamin, 30, bapa kepada bayi sebulan yang dilapor meningga dunia di sebuah pusat jagaan berpantang di sini petang kelmarin, mendakwa perbuatan itu jelas dilihat melalui rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di premis berkenaan.
Kamin berkata, bayi lelakinya yang berusia sebulan dan diberi nama Choo Jyn Hern, dihantar ke pusat jagaan berpantang itu tiga hari selepas dilahirkan.
Katanya, anaknya ditempatkan bersama isterinya, Yap Pei Yin, 29, yang berpantang dan memerlukan penjagaan rapi kerana bersalin secara pembedahan.
“Isteri dan anak saya sepatutnya keluar dari pusat jagaan berpantang pada 10 September manakala kejadian itu berlaku sehari sebelumnya, iaitu 28 hari selepas isteri saya mendapatkan rawatan.
“Saya membayar RM13,000 kepada pusat jagaan berpantang untuk rawatan selama 28 hari,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Kampung Teluk Panji di sini, hari ini.
Terdahulu, keluarga berkenaan menerima kunjungan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Lama, Dr Hafidzah Mustakim.
Kamin berkata, bayi itu adalah adalah cahaya mata sulung mereka selepas tiga tahun menunggu zuriat manakala tarikh kematian anak mereka adalah pada hari kelahiran isterinya.
“Sejak kejadian itu, emosi isteri saya tidak stabil dan akan menangis setiap kali ingin mengepam susu.
“Dia cuma bayangkan bayi kami masih dalam dakapan,” katanya
Kamin berkata, mereka akan mengambil tindakan terhadap pusat jagaan berkenaan dan menyerahkan kes kepada pihak polis.
Bayi berkenaan dikatakan tidak sedarkan diri pada jam 5.30 petang kelmarin selepas diberi susu oleh jururawat yang ditugaskan menjaganya.
Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd Rosdi Daud, dilaporkan berkata, mangsa dibawa ke Pusat Perubatan Kota Bharu untuk rawatan sebelum disahkan sudah meninggal dunia.
Jururawat berusia 22 tahun itu direman tujuh hari bermula hari ini sehingga Selasa depan.
Sumber – BERITA HARIAN