‘Ini baru hukuman dunia’, bertaubatlah – Hakim nasihat Guru Besar

Oleh – Syeikh Baran


'Ini baru hukuman dunia', bertaubatlah - Hakim nasihat Guru Besar

Seorang guru besar sekolah rendah di Teluk Intan, didenda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen hari ini, selepas mengaku bersalah menggunakan jawatan untuk memalsukan dokumen, tiga tahun lalu.



Pengakuan bersalah oleh Rosnah Mat Zain, 57, dibuat atas pertuduhan pilihan mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan.

Dalam penghakimannya, Hakim Datuk Ibrahim Osman menetapkan Rosnah dipenjara sebulan jika gagal membayar denda, namun tertuduh membayar denda dikenakan.

Mengikut pertuduhan, Rosnah didakwa menggunakan suatu dokumen sebagai tulen iaitu Invois Brickwork Resource bertarikh 6 Disember 2021 kepada sebuah sekolah rendah di Teluk Intan untuk pembayaran pembelian alat muzik piano digital berserta bangku hitam berjumlah RM10,200 yang mana dokumen itu adalah palsu.

Perbuatan itu dilakukan di sebuah sekolah rendah di Teluk Intan, pada 9 Disember 2021.



Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan dan sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Mengikut fakta kes, tertuduh memilih syarikat milik menantunya bagi kerja pembekalan alat muzik yang mana tertuduh mempunyai kepentingan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Sharul Azuan Ghazali dan Maziah Mansor, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Selepas membacakan keputusan penghakimannya, Ibrahim menasihati tertuduh bertaubat dan berhati-hati membuat keputusan sebagai penjawat awam.



“Selepas ini berhati-hatilah dalam membuat keputusan sebagai penjawat awam. Ini baru (hukuman) dunia, belum akhirat. Bertaubatlah,” katanya.

Sumber – BERITA HARIAN

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button