Isteri Daim mohon kembalikan pasport secara kekal, bantahan pendakwa didengar Mahkamah Rayuan November depan

Oleh – Syeikh Baran


Isteri Daim mohon kembalikan pasport secara kekal, bantahan pendakwa didengar Mahkamah Rayuan November depan

Mahkamah Rayuan hari ini menetapkan 28 November depan untuk mendengar bantahan awal pihak pendakwaan terhadap permohonan Toh Puan Na’imah Abdul Khalid untuk mendapatkan kembali pasport antarabangsanya secara kekal.



Panel tiga hakim diketuai Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim turut bersetuju untuk mendengar merit rayuan dikemukakan isteri bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin itu jika mahkamah menolak bantahan awal berkenaan.

“Sekiranya mahkamah tidak bersetuju dengan bantahan pihak responden, maka mahkamah akan mendengar merit rayuan oleh perayu,” menurut panel hakim

Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin mewakili responden, iaitu Suruhanjaya PencegahanRasuah Malaysia (SPRM), manakala peguam, Nizamuddin Hamid mewakili Na’imah.

Januari lalu, Na’imah, 67, didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas pertuduhan gagal mematuhi notis mengisytiharkan hartanya, termasuk Menara Ilham serta beberapa aset lain di sekitar Kuala Lumpur dan Pulau Pinang.



Hakim Azura Alwi kemudian membenarkan Na’imah diikat jamin RM250,000 dengan seorang penjamin dan memerintahkan beliau menyerahkan pasport kepada mahkamah.

Nai’imah didakwa mengikut Seksyen 36(2) Akta SPRM 2009 yang membawa hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda RM100,000 jika sabit kesalahan.

Pada Mac lalu, Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Ahmad Bache menolak permohonan Na’imah selaku pemohon bagi menyemak semula perintah Mahkamah Sesyen yang menahan pasportnya selepas didakwa gagal mengisytiharkan harta.

Ketika itu, mahkamah bersetuju dengan hujahan pendakwa bahawa tidak ada jaminan pemohon melarikan diri jika pasport tidak ditahan di mahkamah.



Sumber – BERITA HARIAN

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button