Langgar bot Maritim Malaysia, tekong terjun laut bersama 20 PATI
Oleh – Syeikh Baran
Seorang tekong bersama kira-kira 20 pendatang asing tanpa izin (PATI) nekad terjun ke laut bagi mengelak ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia).
Kejadian berlaku kira-kira jam 1.50 pagi tadi apabila tekong melanggar bot milik Maritim Malaysia yang mengejarnya pada kedudukan 0.2 batu nautika barat daya Pantai Tanjung Rhu, Kuala Langat.
Pengarah Maritim Selangor, Kepten Maritim Abdul Muhaimin Muhammad Salleh berkata, terdahulu bot terbabit dikesan hasil maklumat Area Control Centre (ACC) Klang dalam keadaan mencurigakan dan bergerak laju di perairan Kuala Langat.
“Susulan itu, bot ronda Maritim Malaysia dalam OP EHSAN dan OP TIRIS 3.0 diatur gerak ke lokasi untuk melakukan pemeriksaan.
“Pasukan operasi menemukan sebuah bot fiber tanpa nombor pendaftaran memecut dalam keadaan mencurigakan di Perairan Tanjung Rhu, lalu mengejar selama kira-kira 35 minit.
“Dalam cubaan bot suspek meloloskan diri, tekong sengaja melanggar bahagian sebelah kanan bot ronda Maritim Malaysia sehingga menyebabkan kerosakan, sebelum tekong terjun ke laut bersama PATI lain dan berenang ke kawasan cetek hutan paya bakau berdekatan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Abdul Muhaimin berkata, bot suspek dihentikan anggota, namun pemeriksaan hanya menemukan dua PATI wanita masing-masing berusia 28 dan 45 tahun tanpa dokumen pengenalan diri di atas bot.
“Soal siasat mendapati lebih 20 penumpang lain yang menggunakan perkhidmatan bot terbabit untuk pulang ke negara jiran melarikan diri dengan terjun ke laut sebelum insiden pelanggaran berlaku.
“Bot terbabit kemudian dibawa ke Jeti Maritim Selangor di Pelabuhan Klang untuk tindakan lanjut,” katanya mengesahkan dua PATI yang ditahan disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63.
Sumber – BERITA HARIAN