Panjat tingkap sebelum rogol kenalan, pelajar mengaku bersalah
Oleh – Syeikh Baran
Pelajar tingkatan lima sebuah sekolah menengah di daerah ini mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan merogol kenalan perempuannya, Sabtu lalu.
Tertuduh berusia 17 tahun membuat pengakuan itu sejurus pertuduhan dikemukakan terhadapnya oleh jurubahasa di hadapan Majistret Suhaila Shafi’uddin.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa merogol pelajar junior berusia 16 tahun yang juga kenalannya di sebuah rumah dalam daerah ini, pada jam 1.05 pagi, 7 September lalu.
Abang mangsa menahan tertuduh yang ketika itu cuba melarikan diri. Selepas ditanya, tertuduh mengakui melakukan hubungan itu dengan mangsa yang juga teman wanitanya.
Susulan itu, satu laporan polis dibuat ahli keluarga mangsa di Balai Polis Sri Medan, 7 September lalu dengan tertuduh ditahan pada hari sama.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Farah Wahidah Mohd Sharip manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Susulan pengakuan bersalah tertuduh, mahkamah menetapkan 23 Oktober ini untuk Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menyediakan laporan akhlak selain fakta dan hukuman.
Mahkamah turut membenarkan tertuduh diikat jamin RM1,000 dengan seorang penjamin.
Sumber – HARIAN METRO