Sijil halal: Kertas siasatan Teresa Kok dijangka rujuk ke Pejabat Peguam Negara esok

Oleh – Syeikh Baran


Sijil halal: Kertas siasatan Teresa Kok dijangka rujuk ke Pejabat Peguam Negara esok

Kertas siasatan terhadap Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok berhubung kenyataannya mengenai isu pensijilan halal dijangka dirujuk kepada Pejabat Peguam Negara esok.



Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, pihaknya telah memanggil saksi-saksi termasuk Teresa bagi merakam keterangan untuk melengkapkan siasatan.

“Dalam masa dua hari mungkin esok kita akan hantar ke AGC (Pejabat Peguam Negara),” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang di sini hari ini.

Razarudin sebelum ini dilaporkan berkata, polis telah menerima 50 laporan berhubung kenyataan Teresa setakat 12 tengah hari semalam.

Sementara itu, berhubung dakwaan kerabat diraja Pahang bersama sekumpulan individu menyerang seorang lelaki di sebuah kandang Kuda di Kuantan di sini, dalam kejadian pada Jun lalu, beliau berkata, pihaknya masih melengkapkan kertas siasatan sebelum diserahkan semula kepada pejabat Peguam Negara.



“Kertas siasatan itu telah dipulangkan untuk siasatan lanjut, kita juga telah mengambil tindakan dan mungkin dalam tempoh tiga hingga empat hari siasatan selesai dan kita akan serahkan semula untuk tindakan selanjutnya, ” katanya.

Media baru-baru ini melaporkan seorang pekerja pembinaan dan penyelenggaraan jalan, mendakwa cedera selepas diserang seorang kerabat diraja dan beberapa individu menggunakan senjata.

Akibat serangan itu, lelaki itu dilaporkan cedera di paha dan menerima beberapa jahitan serta luka di bahagian kaki. – Bernama

Sumber – SINAR HARIAN



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button