Tiga warga Afrika didakwa rompak AS$30,000

Oleh – Syeikh Baran


Tiga warga Afrika didakwa rompak AS$30,000

Dua lelaki warga Sierra Leone dan seorang lelaki warga Liberia mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan melakukan rompakan berkumpulan, bulan lalu.



Mengikut pertuduhan, Patrick Samba, 34; Ibrahim Jalloh, 36; dan Douglas Daniel Devine, 38, didakwa telah merompak wang tunai sebanyak AS$30,000 milik seorang peniaga warga Jepun, Hiroyuki Azuma, 58.

Perbuatan itu didakwa dilakukan pada pukul 1.30 tengahari, 9 Ogos lalu di hadapan sebuah restoran di pusat membeli belah Midvalley di sini.

Pertuduhan itu didakwa mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan juga dikenakan denda atau sebat, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Izalina Abdullah mencadangkan tiada jaminan ditawarkan kerana kesemua tertuduh tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah.



Bagaimanapun, peguam bela, A.R. Palaya yang mewakili ketiga-tiga tertuduh mendakwa kesemua anak guamnya itu mempunyai dokumen perjalanan yang sah namun ianya disimpan oleh ejen masing-masing atau di kolej tempat mereka belajar.

“Mohon satu tarikh singkat bagi melakukan pengesahan dokumen sebelum saya membuat rayuan bagi jaminan,” kata peguam itu.

Hakim Egusra Ali tidak menawarkan sebarang jaminan dan menetapkan 25 September ini untuk sebutan semula kes.

Sumber – KOSMO! ONLINE



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button