4 ahli Geng Bala tidak mengaku rompak berkumpulan, pecah rumah
Oleh – Syeikh Baran
Empat ahli Geng Bala dihadapkan ke Mahkamah Majistret dan Sesyen Johor Bahru, di sini, hari ini, atas tiga pertuduhan berasingan pecah rumah dan rompakan berkumpulan pada Ogos tahun lalu hingga bulan lalu.
Tertuduh, G Balakrishnan, 33, S Prem Kumar, 38, Muhammad Ridzwan Dinesh, 38, dan P Ukenthiran, 33, bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas semua pertuduhan di hadapan tiga hakim dan majistret berbeza.
Mengikut pertuduhan yang dibacakan di Mahkamah Majistret di hadapan Majistret Hidayatul Syuhada Shamsuddin, keempat-empat tertuduh secara bersama, dengan niat curang melakukan pecah rumah di sebuah kediaman bagi maksud mencuri.
Kesalahan itu dilakukan di sebuah rumah di Jalan Bistari, Taman Mutiara Rini, di sini, jam 4 pagi, 7 Ogos lalu.
Dalam Mahkamah Majistret berasingan, di hadapan Majistret A Sharmini, Balakrishnan, Muhammad Ridzwan Dinesh dan Ukenthiran berdepan pertuduhan secara bersama melakukan dengan niat curang melakukan pecah rumah di sebuah kediaman bagi maksud mencuri.
Kesalahan itu dilakukan di sebuah rumah di Jalan Indah, Taman Bukit Indah di sini, jam 2 pagi, 28 Julai lalu.
Sementara itu, di Mahkamah Sesyen Johor Bahru, di hadapan Hakim Datuk Che Wan Zaidi Che Wan Ibrahim, Balakrishnan dan Prem Kumar turut berdepan pertuduhan melakukan rompakan berkumpulan.
Kesalahan itu dilakukan secara bersama di Jalan Sasa, Taman Gaya, di sini, jam 7.30 pagi, 6 Ogos tahun lalu.
Pada 1 September lalu, Ketua Polis Johor Datuk M Kumar dilaporkan berkata, penahanan 11 anggota Geng Bala membolehkan pihaknya menyelesaikan 31 kes samun dan pecah rumah yang dilaporkan sejak awal tahun ini, di beberapa daerah di negeri ini.
Sumber – HARIAN METRO