Konco along ditangkap cuba simbah cat, tampal notis

Oleh – Syeikh Baran


Konco along ditangkap cuba simbah cat, tampal notis

Malang bagi dua lelaki disyaki konco along apabila bukan sahaja gagal dalam misi menyimbah cat dan menampal notis, malah ditangkap sendiri oleh pemilik rumah dalam kejadian di Bercham di sini hari ini.



Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris berkata, tangkapan terhadap kedua-dua lelaki warga tempatan itu dibuat di Jalan Lebuh Bercham Timur, Taman Rima Gamelan pada pukul 1.10 petang.

Katanya, kedua-dua suspek ditangkap selepas kereta dinaiki mereka terbabas di kawasan berkenaan.

“Kehadiran suspek itu disedari pemilik rumah yang kemudiannya bertindak mengejar mereka sehingga ke Jalan Lebuh Bercham Timur.

“Suspek yang memandu kereta telah terbabas di kawasan berkenaan dan berlaku pergelutan antara suspek dan pemilik rumah serta orang awam yang cuba membantu menangkap mereka,” katanya di sini hari ini.



Menurut beliau, dalam kejadian itu kedua-dua suspek yang cedera ringan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Ketika tangkapan semula oleh pihak polis, beberapa barang kes dirampas daripada suspek antaranya empat bungkus plastik mengandungi cecair merah disyaki cat dan 17 helaian kertas putih bertulis butir-butir peminjam yang gagal membuat bayaran.

“Semua barang berkenaan bersama tiga telefon bimbit dirampas untuk siasatan di bawah Seksyen 5(2) Akta Pemberi Pinjaman Wang 1952 kerana memberi pinjaman wang tanpa lesen dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan atas kesalahan melakukan khianat,” katanya.

Sumber – KOSMO! ONLINE



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button