PAS yakin Pahang mampu ditawan pada PRU-16 – Tuan Ibrahim

Oleh – Syeikh Baran


PAS yakin Pahang mampu ditawan pada PRU-16 - Tuan Ibrahim

PAS yakin mampu menguasai Pahang pada pilihan raya umum akan datang, sekali gus menjadikan ia negeri kelima ditadbir parti itu bersama Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis.



Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata kejayaan parti yang dilakar hari ini adalah hasil daripada ‘benih ditanam’ sejak berdekad lalu, lantas bukan suatu mustahil untuk Pahang dikuasai pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16).

Atas sebab itu jugalah, beliau berkata Muktamar PAS ke-70 yang berlangsung hari ini sehingga 15 September ini dibawa khusus ke Pahang.

“Muktamar kali ini kita buat di Kerdau, Pahang… ia sebagai isyarat bahawa Pahang sedia bersama-sama dengan empat negeri ditadbir PAS untuk kita terajui dan ambil alih pentadbiran pada PRU-16.

“PAS menang 43 Parlimen dan 105 DUN (Dewan Undangan Negeri), bagaimanapun kita kena fokus kepada gerak kerja kita untuk cabaran mendatang.



 

Pada PRU15, Perikatan Nasional (PN) memenangi 17 daripada keseluruhan 42 kerusi DUN di Pahang, menyamai kerusi dimenangi Barisan Nasional (BN) manakala Pakatan Harapan (PH) dengan lapan kerusi.

Bagaimanapun, BN-PH bergabung bagi meraih majoriti mudah menubuhkan kerajaan negeri.

Dalam perkembangan berasingan, Tuan Ibrahim meminta sayap Pemuda melakukan anjakan paradigma dengan memberi fokus untuk menarik sokongan bukan Melayu, dalam misi menawan Putrajaya.

“Kita harus akui kelemahan kita yang perlu diatasi di kawasan bukan Melayu dan kawasan-kawasan di Selatan tanah air, apatah lagi di Sabah dan Sarawak,” katanya.



Tarik sokongan bukan Melayu

Tambah beliau lagi, ada keperluan bagi PAS di Sabah dan Sarawak mendapatkan rakan ‘muafakat politik’ termasuk kemungkinan memberi autonomi di dua negeri itu bagi merancang strategi bersesuaian dengan politik setempat.

“Mungkin sampai masanya akan kita lihat bagaimana satu kuasa, mungkin autonomi perlu diberi kepada (PAS) Sabah, Sarawak merancang, merencana strategi dan pendekatan yang sesuai dengan situasi politik yang ada di sana,” katanya.

Dalam pada itu, beliau juga mahu usaha menarik bukan Melayu di luar kerangka politik termasuk memberi pendedahan kepada golongan berkenaan mengenai realiti sebenar pentadbiran PAS di Kelantan, Terengganu, Kedah, dan Perlis.



“Fitnah yang berlaku pada jemaah oleh musuh kita menyebabkan mereka (bukan Islam) merasa takut untuk mendekati kita dan tidak mengenali kita kerana fitnah yang melampau.

“Kita digambarkan (sebagai) parti ekstrem, parti pelampau, digambarkan ‘gelombang hijau’ membahayakan negara,” katanya.

Sumber – BERITA HARIAN



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button